Program Korban Anjuran PAS Dapat Sambutan

698

Oleh: Ahmad Mawardi

HULU TERENGGANU- Program Korban Perdana PAS Cawangan Teluk Menara, Manir telah mendapat sambutan yang amat mengalakkan daripada masyarakat setempat walaupun berbeza fahaman politik dengan penambahan lembu korban berbanding tahun lepas.

Ketua Cawangan PAS Teluk Menara Ustaz Hamazah Mohd Latif berkata ini membuktikan keyakinan kepada PAS untuk mengurus dan menyempurnakan amalan ibadah korban mereka.

“Mereka tidak lagi merasa takut untuk turut sama hadir di dalam program anjuran parti Islam, PAS,” ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Kawasan Hulu Terengganu.

Orang ramai bergotong royong di majlis korban PAS Cawangan Teluk Menara
Acara tahunan PAS cawangan tersebut telah diadakan bertempat di lapangan kebun berhampiran Surau al-Hikmah Teluk Menara, di sini pada 11 Ogos dan sebanyak 27 ekor lembu korban telah disembelih sebaik selesai sembahyang dan khutbah Hari Raya.

Menurutnya, seramai 250 orang petugas penduduk tempatan berjaya dikumpulkan bagi kerja-kerja penyembelihan, melapah dan pengedaran daging di dalam menjayakan korban perdana dengan memupuk semangat kerjasama erat dikalangan penduduk.

“Syukur kehadrat Allah dan terima kasih kepada semua AJK Program Ibadah Korban Perdana tahun ini diantaranya Pemuda PAS Cawangan, para peserta, petugas-petugas muslimin dan muslimat dan semua yang hadir.

”Semoga segala khidmat kita dikira sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran dari Allah SWT,” tambah beliau lagi.

Seterusnya Ustaz Hamazah berkata, kerja-kerja pembahagian daging seawal sekitar jam 10.00 pagi bagi lembu, peserta awal telah pun boleh dibawa pulang dan kesemuanya berakhir sekitar jam 1.00 petang bagi semua pembahagian daging.

Manakala pada hari kedua Aidil Adha pula, 10 ekor lagi lembu dikorban dan diaqiqahkan bagi memenuhi permintaan peserta yang rata-ratanya membuat majlis kesyukuran dan jamuan di kediaman masing-masing.

Hampir sebanyak 300kg daging korban hasil sumbangan orang ramai dan para peserta untuk diagih-agihkan kepada asnaf fakir miskin di sekitar kampung.

Rata-rata peserta korban sangat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan di atas faktor mesra, teratur, cepat dan bekalan lembu yang agak besar, daging pejal yang dianggarkan berat seekor lembu lebih 130kg seekor.