PRK Kimanis : Bahtera Muafakat Nasional Terus Gagah Meredah

147

PRK Kimanis : Bahtera Muafakat Nasional Terus Gagah Meredah

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU, 20 Jan – Kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Kimanis di Sabah menunujukkan penerimaan rakyat yang positif terhadap bahtera Muafakat Nasional (MN) antara PAS dan BN.

Ahli Jawatankuasa Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, pada masa kini jelas kelihatan rakyat cenderung untuk memberikan Umno/BN peluang kedua untuk meredah bersama bahtera MN.

‘’ Kerana sayanglah maka kita ingatkan supaya raikan kemenangan dengan berpada-pada. Tanpa puji dan puja. Mengambil pengajaran kenapa pemegang kuasa di Putrajaya (Pakatan Harapan) tetapi dalam PRK mereka rebah tak bermaya,’’

‘’ Kita perlu sedar bahawa Umno/BN baru saja tak sampai dua tahun ditolak oleh rakyat. Tetapi lantaran kerana kegagalan PH, rakyat mula beralih undi semula kepada Umno/BN yang mewakili Muafakat Nasional,’’ katanya dalam satu kenyataan rasmi, semalam

Jelasnya yang turut mengingatkan agar tidak mensia-siakan rakyat yang tentunya tidak ingin terjerumus ke dalam lubang yang sama lebih dari dua kali.

Menurut beliau yang juga Timbalan Yang Di-Pertua PAS Setiu, kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum lalu merupakan satu kepahitan yang dirasai setelah sekian lama memegang tapuk pemerintahan. Namun, ianya perlu diambil pengajaran dan membuat perubahan di masa depan.

‘’ Memang pahit apabila jatuh setelah lebih setengah abad berkuasa. Kepahitan yang sepatutnya menjadi pengajaran agar kesilapan lalu tidak diulang. Bersama MN, mari bersama kita bina jalan ke depan,’’

‘’ Nasihat seperti ini tentu sekali tak begitu popular dan tak digemari ramai. Saya tak kisah, biarlah kita terus belajarlah untuk saling menerima teguran, menegur dan ditegur,’’ ujarnya lagi.

‘’ Setiap perkembangan dalam masyarakat saya perhatikan dengan teliti. Ianya menuntut kebijaksanaan bagaimana sesuatu situasi nak ditangani dengan saksama agar tak ada diri yang terluka. Ada hati yang perlu dijaga dan disatukan demi keutuhan bersama. Bahtera MN perlu terus gagah meredah samudera.’’