PPSMI, Berhenti Jadikan Pelajar Bahan Ujikaji

96

Oleh : Syazwana M.Zohir

KUALA TERENGGANU – Muslimat Muda (Ameerah) menggesa pihak kerajaan berhenti menjadikan para pelajar sebagai bahan ujikaji dalam polemik Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengarahnya, Zuraida Md Noor berkata, kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertarikh 6 Februari 2020 menunjukkan perkembangan yang membimbangkan kerana kerajaan seolah-olah ke arah melaksanakan kembali PPSMI.

“Kami berpandangan bahawa mengembalikan PPSMI dalam sistem pendidikan negara adalah satu langkah ke belakang apabila ia telah dimansuhkan secara berperingkat mulai tahun 2012 bukan secara semberono, tetapi berdasarkan kajian dan penilaian pakar akademik.

“Hal ini dirujuk kepada satu kajian bertajuk ‘Rural School Student’s Perception about Learning Mathematics in English’ oleh Teo Wei Lin dan Roslinda Rosli dari UKM, hasil kajian mendapati “the study found that a total of 60.42% of respondents are on the negative side when it comes to learning mathematics in english where only a small fraction of 3.47% of respondents were able to learn mathematics well in english,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengarah Ameerah Malaysia berkata demikian dalam laman sosialnya pada Hari Sabtu, 8 Februari.

Menurutnya,beliau menegaskan bahawa usaha memantapkan Bahasa Inggeris mestilah menggunakan medium bahasa itu sendiri dan bukannya melalui subjek sains dan matematik.

“Kami juga berpendapat bahawa PPSMI adalah tidak bertepatan dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan.Seharusnya sistem pendidikan menjadi instrumen utama memperkasa bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Adalah sangat mengecewakan apabila rakyat yang mahu melihat reformasi positif dalam sistem pendidikan negara terutama dari sudut memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan, namun yang diberi keutamaan adalah langkah yang berbalik ke belakang,” jelasnya.

Zuraida menambah,sekiranya PPSMI dilaksanakan kembali, banyak kos yang akan dibazirkan dan seterusnya para pelajar sekali lagi dijadikan ‘tikus makmal’ untuk perubahan polisi setiap kali bertukarnya menteri.

Justeru itu, beliau mendesak kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia agar berhenti membazirkan masa dalam usaha mengembalikan PPSMI sebaliknya memberi fokus kepada penambahbaikan sistem pendidikan berteraskan Dasar Pendidikan Kebangsaan.