PPDK Perlu Ditambah Lebih Banyak

798

Oleh : Noreni Abu Abakar

DUNGUN- Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang menjalankan aktiviti pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial orang kurang upaya (OKU), perlu ditambah dan diperbanyakkan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Perpaduan Nasional, Cikgu Alias Harun berkata, supaya ianya dapat memberi peluang kepada seramai mungkin OKU dan merasai mereka ‘diambil cakna’ oleh kerajaan dan masyarakat.

“Alhamdulillah, mudah-mudahan akan timbul lagi satu atau dua lagi PPDK dalam daerah Dungun ini”, ujar beliau

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang menyarankan demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sinar Ukhuwah Aidilfitri PPDK Daerah Dungun yang dianjurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat di Dewan Sivik, Seberang Pintasan, pada 10 Julai di sini.

Menurut Cikgu Alias lagi, mereka yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapat manfaat yang banyak melalui program program yang dijalankan.

“Kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kebajikan mereka diutamakan dan diberi perhatian selaras dengan slogan kita, Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera,” tambah Ketua Penerangan PAS Dungun itu lagi.

Di dalam majlis sambutan hari raya itu yang turut dihadiri oleh oleh Ahli Parlimen Dungun, YB Ustaz Wan Hasan Mohd Ramli, ADUN Sura, YB Cikgu Wan Hapandi Wan Nik, Penyalaras DUN Bukit Besi, Ustaz Haji Ghazali Sulaiman dan Pengarah JKMNT, Encik Zuhami Omar.

Seramai 240 orang OKU daripada sembilan institusi PPDK di dalam daerah Dungun telah diraikan dan menerima pemberian ‘duit raya’.