Potongan Gaji Berjadual : PH Khianati Graduan, Belia

156

Potongan Gaji Berjadual (PGB) secara mandatori bagi pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dikenakan kepada pekerja bergaji RM2,000 dan ke atas adalah suatu pengkhianatan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada graduan dan belia di negara ini.

2. Ketika masih sebagai pembangkang, para pemimpin PH ini sering melaung-laungkan agenda pendidikan percuma. Menjelang PRU14 pula, mereka menjajikan penangguhan pembayaran balik pinjaman bagi peminjam berpendapatan kurang daripada RM4,000. Namun, akhirnya para peminjam yang berpendapatan serendah RM2,000 sebulan pun akan dipotong gaji mereka.

3. Saya percaya, PGB ini bukan sahaja akan mengurangkan pendapatan boleh guna para peminjam, bahkan besar kemungkinan akan menambahkan lagi jumlah hutang isi rumah yang sudah sedia tinggi – sehingga Jun 2018 sahaja, hutang isi rumah ini sudah pun mencecah RM1.17 trilion iaitu 83.4% daripada KDNK.

4. PTPTN dan Kementerian Pendidikan (MOE) dilihat tidak mengambil kira konsep dan tahap ‘living wage’ seperti yang diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia dalam menentukan polisi ini. Sebagai contoh, ‘living wage’ di Kuala Lumpur pada 2016 bagi dewasa bujang sahaja pun sudah mencecah RM2,700. Saya percaya kini paras tersebut lebih tinggi termasuk di seluruh negara.

5. PTPTN dan MOE juga mengenepikan realiti bahawa gaji bulanan golongan B40 sekalipun meningkat 6% iaitu daripada RM2,537 kepada RM2,848 antara 2014 dan 2016, dengan peningkatan kos sara hidup, pertumbuhan gaji sebenar golongan ini hanyalah 3.8% sahaja.

6. Jelas sekali bahawa PGB antara 2% hingga 15% ini pasti memberikan kesan yang sangat ketara kepada para peminjam. Mereka akan menghadapi beban kewangan yang lebih besar pada 2019.

7. Oleh itu, saya menggesa PTPTN dan MOE agar membatalkan semula keputusan untuk melaksanakan PGB bermula Januari 2019 ini. Jika tidak, saya pasti PH akan berhadapan dengan bantahan besar-besaran oleh rakyat dalam isu ini.

Sekian.

“Islam Memimpin”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Ahli Parlimen Kuala Terengganu