Politik Perlu Panduan Agama

1822

Oleh: Mastura Jamaldin

MARANG – Pemikiran golongan muda perlu diperbetulkan dengan pendekatan agama termasuk dalam berpolitik bagi memastikan kuasa politik tidak terlepas kepada bukan Islam.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata anak-anak muda perlu berfikir sebaiknya kerana mereka diantara yang menentu siapakah yang mencorak pemerintahan semasa pilihanraya dengan mengira kesannya kelak.

Katanya, ini dapat dilihat pada Pilihanraya Umum Ke 14 baru-baru ini apabila keputusan PRU14 cukup unik apabila pemerintah tidak seimbang dengan demografi penduduk Malaysia.

“Ia ditentukan oleh orang muda berusia 21 hingga 30 tahun dan pengundi bukan Islam turut membantu mencorakkan keadaan yang wujud kini iaitu memilih Pakatan Harapan(PH)sehingga menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Sebenarnya penduduk Malaysia meliputi sebanyak 65 peratus orang Islam tapi yang menguasai Parlimen dengan majoriti mudah ialah bukan Islam.

“Ini menjadikan cabaran untuk kita dan mungkin apa yang diluluskan di peringkat negeri tidak akan diluluskan (di Parlimen), di samping ada orang yang nak cepat jadi Perdana Menteri menambahkan lagi cabaran kepada kita,” katanya

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah Marang, semalam.

Tambahnya lagi, dalam keadaan Pakatan Harapan menguasai kerajaan Pusat tetapi yang menerajui kerajaan di negeri-negeri terdiri daripada parti-parti berlainan yang mungkin mempunyai hasrat berbeza.

Sementara itu, beliau turut menyelar sesetengah penceramah PAS yang masih lagi menyerang UMNO dalam ceramah atau program yang diadakan seolah-olah  UMNO masih menjadi kerajaan yang memerintah.

Katanya, ahli Pas perlu sedar dan mengambil langkah memilih pihak mana lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam.

“Ini tidak, masih lagi berceramah macam dulu juga, seolah tak faham dan tak pandai politik.

“Biar saya sebut terus terang, PAS sebagai parti Islam perlu mengambil satu langkah fiqah muwazanah iaitu pertimbangan untuk memilih (pihak) mana yang lebih baik untuk mempertahankan kuasa politik umat Islam, ini perlu difahami,” ujar Abdul Hadi.