Politik Matang Presiden PAS

1937

Oleh KAM

KUALA NERUS – Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan, undangan PAS terhadap partinya menghadiri perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64, telah melakar sejarah baharu dalam landskap politik Malaysia.

Ini kerana, katanya pertembungan Umno dengan PAS telah berlaku di peringkat akar umbi sejak enam dekad lalu.

Menurutnya, kepimpinan tertinggi kedua-dua parti Umno dan PAS pernah bersama dalam satu pasukan kerajaan Barisan Nasional (BN) tahun 1974.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih di atas jemputan daripada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan kepimpinan PAS, yang buat pertama kalinya telah secara rasminya menjemput kepimpinan utama Tertinggi Umno.

“Ini melakar satu sejarah baru dalam landskap politik di Malaysia. Biarpun kita lihat lebih enam dekad Umno dan PAS menghadapi permasalahan dari segi pertembungan di akar umbi.

“Biarpun di kalangan kepimpinan tertinggi kita pernah berada di dalam satu pasukan Barisan Nasional (BN) tahun 1974. Namun, ianya ketika itu sebuah kerajaan,” ujarnya dalam satu sidang media di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, hari ini.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid menyifatkan, kenyataan terbuka Presiden PAS yang menyarankan agar mempertingkatkan jalinan kerjasama dengan kerajaan Pusat dipuji.

“Saranan Presiden PAS untuk mempertingkatkan jalinan kerjasama dengan kerajaan pusat. Ini memperlihatkan politik matang yang disebutkan selama ini.

“Walaupun kita sebagai pembangkang, tidak membangkang membuta tuli. Ini satu pendekatan baharu yang saya fikir diharapkan oleh semua rakyat.

“Namun, isu-isu rakyat harus ditangani oleh kedua-dua parti dalam pembangkang ini,” jelasnya.