Politik Berpandukan Hidayah Allah

215

Minda Presiden PAS

POLITIK BERPANDUKAN HIDAYAH ALLAH

Firman Allah:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58); Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (orang-orang yang berkuasa dan mengendalikan urusan) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya). (58).” (Surah al-Nisa’: 58-59)

Islam yang bersuluhkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW adalah hidayah dan petunjuk di sepanjang perjalanan hidup di dunia sebelum menuju alam akhirat yang kekal abadi.

Inilah hidayah yang dipohon kepada Allah SWT dalam setiap rakaat solat, sama ada wajib atau sunat, termasuk solat jenazah yang tiada ruku’ dan sujud.

Perkataan amanah dan adil adalah konsep Islam yang unggul, bukan sekadar mudah disebut dan menjadi rebutan untuk menjenamakannya kepada mana-mana kumpulan atau parti sama ada yang bercirikan Islam, sekular ataupun bukan Islam. Namun Islam menegaskan bahawa konsep amanah dan adil hanya mampu dilaksanakan dengan memiliki sifat istiqamah.

Istiqamah menjadi syarat kemenangan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang mampu memenuhi syaratnya. Petunjuknya adalah mengikuti kesempurnaan Islam yang meliputi seluruh ajaran cara hidup manusia dalam hubungannya dengan Tuhan, sesama makhluk manusia dan makhluk bukan manusia dalam menuju wawasan sehingga hari akhirat.

Islam juga mampu menangani segala perubahan yang menjadi fitrah alam, termasuk cara hidup manusia. Perkara syarat dan rukun tetap tidak berubah, khususnya dalam perkara yang menjadi asas dan tiang yang terpenting dalam semua perkara tersebut.

Di antara perkara yang paling mencabar dan banyak cabaran dalam menunaikan amanah dan menegakkan keadilan ialah politik mengurus kehidupan dunia dengan Islam, supaya menjadi jambatan selamat menuju ke alam akhirat.

Politik melibatkan para Rasul AS sepertimana ditegaskan melalui sabda Rasulullah SAW:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ. (رواه البخاري(

“Kaum Bani Israel pada zaman dahulu pemimpin siasah (politik) mereka ialah para anbiya’. Setiap nabi wafat digantikan nabi selepasnya. Tiada lagi nabi selepasku (Muhammad SAW). Namun adanya para khalifah (pemimpin di kalangan umatku). Jumlah mereka ramai. Mereka (para sahabat) bertanya, “Maka apakah perintahmu kepada kami (yang wajib kami lakukan)?” Sabdanya: “Tunaikan yang pertama dilakukan baiah dan yang berikutnya. Berikan hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. (Sebenarnya) Allah akan menyoal mereka (di Hari Kiamat nanti) daripada apa sahaja kewajipan yang diwajibkan supaya mereka menunaikannya).” (Riwayat al-Bukhari 3455)

Islam menegaskan wajib kembali kepada al-Quran dan apa yang dihuraikan oleh al-Sunnah secara khusus, yakni amalan dan petunjuk Rasulullah SAW dalam semua perkara yang dicatatkan oleh para ulama’ secara riwayah(mengikut turutan orang yang menerimanya secara seorang demi seorang) dan dirayah(memahami mengikut bahasa al-Quran dan istilah ilmu dalam segala lapangan).

Pengajian para ulama’ secara berakhlak dan budaya ilmu telah memelihara kebenaran al-Quran dan al-Sunnah, sehingga tidak boleh terpesong atau dipesongkan serta mendedahkan sesiapa yang tidak jujur atau memesongkannya.

Pengajian mereka bukan seperti cara hari ini yang mengambil jalan mudah tanpa perhitungan berdasarkan petunjuk Islam, sehingga menggunakan akal semata-mata tanpa hidayah yang dibaca dan dipohon pertolongan daripada Allah SWT. Bahkan mereka hanya mengambil jalan melalui media yang diarus perdanakan dengan dana yang besar bersama mereka yang hidup hanya untuk makan tanpa mengira persoalan benar dan salah atau halal dan haram.

Begitu juga mereka mengambil maklumat melalui media sosial daripada kalangan yang memberi pandangan secara semberono dan buta ilmu tanpa mencari hidayah, sehingga menjadi lebih parah daripada mereka yang buta huruf. Ini semua disebabkan oleh tiada sempadan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firmanNya:

﴿وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا٣٦﴾

“Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (di Hari Kiamat) tentang apa yang dilakukannya).” (Surah al-Isra’: 36)

Biarkan mereka yang tidak beriman dan mempedulikan akhlak, terus tenggelam bersama kejahilan mereka yang jahil murakkab (tidak sedar dirinya itu jahil).

Kita perlu kembali kepada ayat-ayat al-Quran yang telah disebutkan pada pendahuluan kepada tajuk ini (Surah al-Nisa’: 58-59). Ayat yang memberi hidayah dan petunjuk dalam ketegasan menegakkan perkara dasar dan konsep politik Islam, sama ada dalam perkara yang tetap tidak berubah dan tiada tolak ansur sedikit pun atau perkara yang mengikuti perkembangan perubahan kehidupan manusia yang ditunjukkan melalui pendekatan fleksibel dan anjal dalam memberi ruang menyampaikan mesej Islam kepada semua manusia tanpa paksaan, sehingga dapat melihat Islam secara langsung atau dekat daripada sumber yang sebenar.

Terpulang kepada pilihan sendiri, sama ada mahu menganut Islam secara pilihan atau menerima konsep hidup bermasyarakat majmuk berpandukan Islam tanpa menganut agamanya atau terus bermusuh terhadap Islam.

Allah SWT juga mengizinkan dijalinkan hubungan dengan pihak lain daripada kalangan bukan Islam walaupun musuh yang paling ketat, dengan ungkapan yang mudah difahami melalui pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

Rasulullah SAW telah menyatakan dan melaksanakannya secara praktikal, di Marhalah Makkiyyah ketika masih lemah dan tidak berkuasa, dan Marhalah Madaniyyah setelah berkuasa di Madinah sehingga dalam keadaan yang paling kuat dalam peristiwa Pembukaan Kota Makkah dan menjadi kuasa paling besar di dunia.

Sebelum berkuasa di Makkah, Rasulullah SAW menolak tawaran kuasa tanpa politik Islam. Pada masa sama, mengadakan kerjasama dengan pihak bukan Islam yang tidak bermusuh. Kerjasama dengan nama Tahaluf (persefahaman), Himayah (perlindungan menghadapi kezaliman) dan Taawun (bertolong menolong dalam titik persamaan kemanusiaan dan perkara yang bersifat kebajikan, bukan dalam perkara yang melakukan dosa dan melampau).

Apabila kerjasama tersebut tidak dihormati, maka semuanya dibatalkan, kerana wala’ (kesetiaan) kepada dasar dan matlamat yang tidak boleh diganggu gugat. Sekalipun terpaksa berkorban dan mengambil masa yang panjang dengan penuh kesabaran, sehingga memakan masa beberapa generasi dan ada yang meninggal di pertengahan jalan sama ada yang meninggal dunia atau kecundang lari daripada perjuangan.

Allah berfirman:

﴿لَوۡ كَانَ عَرَضٗا قَرِيبٗا وَسَفَرٗا قَاصِدٗا لَّٱتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنۢ بَعُدَتۡ عَلَيۡهِمُ ٱلشُّقَّةُۚ وَسَيَحۡلِفُونَ بِٱللَّهِ لَوِ ٱسۡتَطَعۡنَا لَخَرَجۡنَا مَعَكُمۡ يُهۡلِكُونَ أَنفُسَهُمۡ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ إِنَّهُمۡ لَكَٰذِبُونَ٤٢﴾

“Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan merupakan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafiq itu) akan mengikutimu; tetapi tempat yang hendak dituju itu adalah jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata, “Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu.” (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).” (Surah al-Taubah: 42)

Apabila ada di kalangan pemimpin Makkah yang datang menemui bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Talib yang sentiasa mendampinginya untuk menawarkan kepada Baginda SAW agar mengubah dasar dan matlamat perjuangan, maka dengan tegas Baginda SAW menolak tawaran tersebut yang memberikan pangkat yang paling tinggi dan bayaran yang paling mahal harganya. Sebagaimana sabda Baginda SAW kepada bapa saudaranya:

يَا عَمِّ! وَاللهِ لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَميْنِي، وَالْقَمَرَ فِيْ يَسَارِيْ، عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظهِرَهُ اللهُ أوْ أهلِكَ فِيْهِ مَا تَركْتُهُ.

“Wahai bapa saudara kesayanganku! Sekiranya diletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan (menegakkan Islam) ini sehinggalah Allah memenangkannya atau aku mati sebelumnya (ketika masih dalam perjuangan), nescaya aku tidak meninggalkan perjuangan ini.” (Sirah Ibn Hisyam, jld. 1, ms. 266)

Konsep yang sama diteruskan oleh Rasulullah SAW ketika mempunyai kuasa yang paling kuat sewaktu memimpin kerajaan yang berkuasa penuh di Madinah. Konsep mendahulukan perdamaian tetap diutamakan, manakala pintu perundingan dibuka kepada semua pihak tanpa memperniagakan Islam yang ingin ditegakkan. Namun konsep fleksibel dan anjal telah menjadikan langkah yang diambil boleh diubah pendekatannya.

Asasnya dimulakan dengan umat Islam disatukan dan menerima penyertaan bukan Islam yang tidak ekstrem. Pas masa yang sama tetap menolak sebarang kerjasama yang mengubah dasar dan matlamat.

Perkara pertama ialah mesti bersama umat Islam yang menjadi tonggak negara dan masyarakat majmuk berkonsepkan kepada firman Allah:

﴿وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعٗا وَلَا تَفَرَّقُواْۚ…١٠٣﴾

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai…” (Surah Ali ‘Imran: 103)

Firman Allah SWT:

﴿وَأَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَا تَنَٰزَعُواْ فَتَفۡشَلُواْ وَتَذۡهَبَ رِيحُكُمۡۖ وَٱصۡبِرُوٓاْۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّٰبِرِينَ٤٦﴾

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan, dan sabarlah (dalam menghadapi segala kesukaran dengan kecekalan hati); sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.” (Surah al-Anfal: 46)

Kerjasama dengan bukan Islam juga dibenarkan oleh agama berpandukan firman Allah:

﴿۞عَسَى ٱللَّهُ أَن يَجۡعَلَ بَيۡنَكُمۡ وَبَيۡنَ ٱلَّذِينَ عَادَيۡتُم مِّنۡهُم مَّوَدَّةٗۚ وَٱللَّهُ قَدِيرٞۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٧ لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨﴾

“Semoga Allah akan mengadakan perasaan kasih sayang antara kamu dengan orang-orang yang kamu musuhi itu (dengan jalan menjadikan mereka insaf dan memeluk Islam atau berada di bawah kepimpinan Islam). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa (atas tiap-tiap sesuatu), dan Allah Maha pengampun, lagi Maha Mengasihani. (7); Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil). (8).” (Surah al-Mumtahanah: 7-8)

Adapun kerjasama dengan kalangan bukan Islam yang ekstrem terhadap Islam, berpandukan firman Allah:

﴿إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾

“Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah: 9)

Rasulullah SAW mengambil langkah pertama ketika berada di Makkah dan berlakunya Hijrah ke Madinah dengan menyatukan umat Islam daripada kumpulan-kumpulan Muhajirin yang meninggalkan keluarga, tanah air dan harta demi menegakkan Islam yang dianuti.

Seterusnya mereka disatukan bersama kalangan Ansar yang terdiri daripada penduduk Madinah yang beriman sehingga menerima saudara seagama yang sama tujuannya, diikuti dengan kabilah dan bangsa lain yang beriman. Ini berpandukan persaudaraan seagama yang dinyatakan oleh Allah SWT melalui firmanNya:

﴿إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٞ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ١٠﴾

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Kemudian digabungkan bersama kalangan bukan Islam yang menerima konsep masyarakat majmuk yang diperkenalkan oleh Islam:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih bertaqwa di antara kamu, (bukan yang lebih dari sudut keturunan atau bangsa). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat: 13)

Ayat ini menegaskan konsep masyarakat majmuk yang bersifat madani tanpa menghilangkan jati diri agama dan bangsanya serta tidak bersifat perkauman yang cauvinis.

Sifat perkauman yang cauvinis dan jahat tiada dalam diri orang Melayu yang menganut Islam yang sebenar, kerana mereka menerima kewujudan masyarakat majmuk yang telah bertapak di Malaysia.

Maka sangat zalim jika ada yang masih menuduh Melayu ini fanatik perkauman dan sangat bodoh jika ada orang Melayu yang tiada perasaan kasih kepada bangsanya sendiri, kononnya tidak mahu bersifat perkauman. Sedangkan binatang yang tidak berakal juga mengenal spesies mereka sendiri.

Rasulullah SAW telah membatalkan perjanjian damai dengan golongan Yahudi apabila mereka mengkhianati kesetiaannya dan melanggar perjanjian tahaluf yang telah dimeteraikan apabila bermusuh terhadap Islam atau menyatakan tindakan berpihak kepada musuh Islam dan penganutnya.

Rasulullah SAW menolak bantuan daripada kalangan bukan Islam ketika Perang Badar walaupun dalam keadaan yang sangat terdesak dan lemah. Sebaliknya Baginda SAW meminta bantuan daripada golongan bukan Islam selepas Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) dalam keadaan yang sangat kuat dan mampu menghadapi segala cabaran. Tindakan itu menunjukkan fleksibel (keanjalan) dalam menangani perubahan dengan penuh kematangan.

PAS yang berdasarkan Islam memulakan langkah bersama parti yang bercirikan Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain yang Muslim terlebih dahulu dan menerima pihak bukan Islam yang bersifat sederhana.

PAS menolak kalangan yang melampau sifat ekstrem sehingga menzalimi kaum lain yang berlainan agama dan bangsa.

PAS juga menolak mereka yang bodoh bersifat ekstrem sehingga tiada jiwa Islam dan jiwa bangsanya sendiri walaupun dia seorang yang berbangsa Melayu mengaku Islam tetapi mahu menghilangkan bangsanya sendiri dan kononnya tidak mahu bersifat perkauman, sehingga menjadi terlalu lemah jati diri Islam dan sehingga sanggup membiarkan Islam dihina dan bangsanya sendiri ditelan oleh pihak lain.

Perubahan pendekatan yang berlaku kepada PAS bukan kerana perubahan kepimpinan, tetapi perubahan situasi, realiti dan mampu membaca sepak terajang politik sendiri dan sepak terajang pihak lain daripada kalangan kawan dan lawan.

PAS mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap.

PAS tidak boleh dikelirukan dengan kaca mata yang berwarna sehingga tidak kenal warna yang di luar atau warna yang diubah untuk mengelirukannya.

PAS berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala sebaik-sebaik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti.

Allah SWT telah memberikan amaran yang keras kepada Rasulullah SAW melalui firmanNya:

﴿وَلَقَدۡ أُوحِيَ إِلَيۡكَ وَإِلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكَ لَئِنۡ أَشۡرَكۡتَ لَيَحۡبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٦٥﴾

“Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu, “Demi sesungguhnya! Jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.” (Surah al-Zumar: 65)

Firman Allah:

﴿إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَغۡفِرُ أَن يُشۡرَكَ بِهِۦ وَيَغۡفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَآءُۚ وَمَن يُشۡرِكۡ بِٱللَّهِ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَٰلَۢا بَعِيدًا١١٦﴾

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (semua dosa besar dan kecil, menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.” (Surah al-Nisa’: 116)

PAS yang beraqidah Islam mengikuti gerakan politik yang dinamik, bukan parti yang jumud dan sempit fikirannya.

Hala tuju PAS tidak hanyut disebabkan oleh arus dan gelombang dalam mengharungi perjuangannya.

PAS tetap matang dalam berpolitik dan mampu membaca perkembangan manusia yang boleh berubah kerana berada di alam yang boleh berlakunya perubahan.

Prinsip istiqamah bersama Islam menjadikan PAS tidak menipu dan tidak boleh ditipu, kerana menipu itu haram dan ditipu itu bodoh.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 18 Syawwal 1441 / 10 Jun 2020