Politik Berakhlak

298

Di mana-mana sahaja di dunia ini, skandal dalam pemerintahan atau lebih senang disebut politik adalah sangat lumrah. Boleh dikatakan tiada yang tidak terlibat dalam jenayah politik. Yang paling dimaklumi dunia ialah seks, rasuah, kronisme, nepotisme, menggunakan kuasa bagi kepentingan diri, keluarga dan rakan-rakan. Ini adalah umpan terbaik bagi manusia yang menggiurkan hal-hal keduniaan ini.

Sehinggakan tokoh politik kafir Machiavelli yang terkenal itu menyebutkan matlamat menghalalkan cara. Malang bagi penuntut dan pengamal politik kafir ini, mereka sangat mentaati teori yang bagi mereka. Ia mesti dilakukan bagi survival politik yang juga diketahui sebagai kuasa. Kuasa yang mempunyai segala-galanya bagi mencapai matlamat hidup dunia.

Mereka bangga dengan kekayaan, kuasa, pangkat, kebesaran dan segala macam bentuk yang meletakkan mereka dalam suasana terpuji, walaupun jauh di sudut hati mereka mengetahu bahawa mereka adalah dari jenis yang terkeji. Dengan segala penyamaran, segala penipuan, kemunafikan dibuat bagi menjadikan kulit, menutup segala hal yang dibenci oleh rakyat, walaupun mereka mengamalkannya.

Tidak kira dari parti manakah mereka, jika nafsu menguasai diri, maka dengan kuasa itu, ia akan memusnahkan segala kebaikan. Malah sesiapa yang dilihat lebih baik dari mereka, maka akan dijadikan mangsa pembunuhan karektor, bagi menjamin bahawa mereka tidak dilihat kotor keseorangan. Mesti ada yang juga dilihat lebih kotor supaya dapat dia mengekalkan kuasa.

Di Malaysia, jika disebut Umno, maka kita sudah boleh membayangkan cerita mereka dahulu. Apa yang tidak ada dalam perti mereka. Antara yang boleh diimbau ialah hikayat “Montoya” yang berlaku sekitar 80-an dahulu. Dan terlalu banyak siri-siri ‘ghairah’ Umno yang telah berlaku dan ianya betul-betul terjadi. Tidak cukup ruang ini untuk ditulis. Cuma pendakwaan mungkin ada yang tidak berlaku kerana mereka ketika itu mempunyai kuasa.

Isu politik wang yang sebenarnya rasuah contohnya, sebagaimana kata Profesor DiRaja Engku Aziz, mereka hanya menjalankan siasatan dalaman, sedangkan ianya sepatutnya disiasat SPRM. Ada ketika mereka berbunuhan sesama mereka kerana kuasa. Kes Datuk Mohktar Hashim sebagai misalnya.

MCA tidak juga suci. Skandal PKFZ yang berlaku ketika presidennya, Tan Sri Ling Liong Sik mengetuai Kementerian Pengangkutan, sehingga kini masih tiada jawapan yang pasti. Kemudian presidennya yang lain juga terpalit dengan skandal seks di sebuah hotel dan beliau mengaku. Sebelum itu, di awal 80-an, Tan Koo Swan juga dikenakan hukuman atas kes Pan-El di Singapura.

Mungkin generasi baharu tidak tahu berkenaan isu saham Maika Holdings yang melibatkan MIC. Tidak setakat itu, skandal seks yang melibatkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat D.P Vijandran dengan bahan bukti sebanyak 2000 keping gambar dan 11 pita video telah didedahkan dan sehingga beliau dijatuhkan hukuman yang kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah rayuan.

Bersatu, walaupun baharu, tetapi wajah-wajah pemimpin merekalah ada yang menjadi dalang dalam Umno dahulu, melakukan kerja-kerja terkutuk atas desakan politik dan kuasa itu. Tun Mahathir, tanyalah PKR bagi mendapatkan jawapan kepada kejahatan yang pernah disenararikan oleh PKR suatu masa dahulu. Begitulah sejarah menukilkan.

PKR pula walaupun baru hanya 20 tahun ditubuhkan, mereka dilihat sebagai saingan terkuat Umno dalam menjalankan kerja-kerja terhina dalam politik. Bukan skandal seks biasa tetapi agak jauh meninggalkan Umno iaitu dengan seks sesama jenis. Malah dengan bangga mengaku melakukan pekerjaan itu. Itu belum lagi dicampur dengan kes-kes lain yang berjaya mereka lakukan. Dan sama seperti Umno, mereka melakukan siasatan dalaman sahaja.

Taiko besar bagi PH, DAP juga tidak sunyi daripada kes salah laku seks. Ahli Parlimennya Zairil Khir Johari dengan Dayana Sofea dipanggil oleh pimpinan tertinggi mereka setelah gambar-gambar mereka yang memalukan, tersebar di alam maya. Alhamdulillah mereka akhirnya berkahwin. Isu Terowong Dasar Laut juga menggegarkan Kerajaan Pulau Pinang. Kes pembelian rumah oleh KM yang tiba-tiba digugurkan.

Saya dengan tidak merasa segan menyatakan Parti Amanah, Pan walaupun sudah dua siasatan dilakukan kerana rasuah oleh orang mereka, tetapi tidak lagi dikenakan sebarang hukuman atas mana-mana pertuduhan. Ia agak baik. Saya harap kurangnya kes sebegini, ianya adalah kerana hasil didikan PAS sewaktu mereka bersama dengan PAS.

Kesemua yang saya sebutkan tadi, kebanyakkan mereka tidak dikenakan tindakan oleh parti masing-masing. Menunjukkan tidak seriusnya mereka dengan kesalahan yang sudah terbukti. Masing-masing bagaikan melindungi sesama mereka. Inilah yang dikatakan saya bahawa matlamat menghalalkan cara. Mereka mahu mengekalkan kedudukan. Mungkin dengan jatuhnya kawan mereka, mereka juga bakal terheret sama dalam isu-isu lain. Maklumlah, rahsia dipegang orang, kenalah berhati-hati.

Oh lupa akan PAS. PAS pernah memecat ahlinya kerana salah laku, menari dengan wanita dalam suatu majlis. Tiada skandal seks, tiada skandal rasuah, tiada pecah amanah. Pernah rakan saya dari negara luar menyatakan kekaguman terhadap parti PAS apabila diberitahu kami tidak menerima peruntukan dari kerajaan dan mengutip wang serta memotong gaji sendiri bagi tujuan infaq dan tiada kes rasuah. Dia belum pernah berjumpa hatta di negaranya sendiri.

Walaupun cuba dikaitkan dengan terimaan rasuah 90 juta, akhirnya ia dinafikan sendiri oleh SPRM. Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu ketika dikuasai PAS, sentiasa membuka pintu ‘25’ jam kepada SPRM untuk menyiasat. Puluhan tahun memerintah sebagai pembangkang tetapi tiada kes, sedangkan tiap-tiap hari diuar-uarkan salah laku. Hairankan?

Dakwaan membelasah balak, senyap begitu sahaja. Dakwaan-dakwaan lain akhirnya mati begitu sahaja. Tidak habis lagi dakwaan awal, datang pula dakwaan baharu. Hukumnya tidak pernah ada. Jadi hanya PAS terbukti di persada politik tanahair tidak melakukan samada aksi ghairah, mahupun pecah amanah. Ini adalah ‘trade mark’ Pas yang diakui oleh penganalisis politik tanahair.

Pun begitu, pasti ramai akan tersenyum sinis, sambil terkenang akan video bekas pimpinan kami. PAS secara terbuka, mendepakan tangan, menjemput untuk kamu membuktikannya. Bicarakan dia dan jatuhkanlah hukuman jika benar dia bersalah. Seperti mana kami menanti penuh debar akan perbicaraan bekas pimpinan kami yang dituduh berkhalwat di Kota Bharu lama dahulu. Dan akhirnya dia tidak didapati bersalah.

Namun, sebagaimana kata rasulullah, akhir zaman jika kamu menjalankan sunnah nabi, ia seperti kamu memegang bara api. Lihatlah, walau sudah terbukti kebenaran yang PAS tidak pernah terlibat dengan semua kejahatan politik itu, mereka masih mencaci maki PAS, hanya kerana mereka tidak dapat menguasai PAS. Inilah tanda bagi kami yang kami memegang teguh prinsip perjuangan kami.

Kami tidak takut kalah, kami tidak takut dihina, kami tidak takut dicela, kami tidak takut segalanya. Jikapun orang banyak menolak perjuangan kami, sekurang-kurangnya kami menjalankan kewajipan ini kepada diri dan keluarga kami.

Kami buktikan kami bukan golongan yang menunjukkan jalan celaka kepada semua. Atas akhlak yang kami pegang walaupun kami tidak sempurna, sekurang-kurangnya kami malu melakukannya. Kami malu apabila ketua-ketua kami tidak melakukan sesuatu yang buruk yang dibenci Islam.

Kerana Islam adalah akhlak. Akhlak yang dibawakan oleh rasulullah. InsyaAllah tidaklah sempurna akhlak kami, tetapi kami akan cuba menyempurnakannya. Dan tidaklah hairan jika Presiden kami bersungguh menyatakan ahli PAS tidak boleh berakhlak buruk. Kami tidak segan menegaskan bahawa PAS parti politik paling berakhlak di Malaysia.

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
21 Jun 2109