Polis Perlu Bertindak Tegas

350

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak agar polis mengambil tindakan undang-undang terhadap penghina Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dalam satu ciapan Twitter kelmarin.

Ketuanya Mohd Nasir Abdul Razab memberi tempoh 24 jam supaya pemilik akaun Twitter yang menggunakan nama Tg Haslinda memadamkan status berisi gambar palsu yang disunting.

Mohd Nasir berkata sekiranya pemilik akaun berkenaan enggan berbuat demikian dewan pemuda itu mendesak agar Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyiasat pemilik akaun tersebut dan seterusnya mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Katanya, perbuatan itu menghina Kebawah Duli Sultan Terengganu, Sultan Mizan Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud dan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Serentak itu Dewan Pemuda itu memohon PDRM segera bertidak ke atas individu tindak bertanggungjawab itu.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu petang tadi.

Dalam laporan polis itu Mohd Nasir menyebut bahawa beliau telah melihat satu ‘posting’ Twitter yang boleh disifatkan sebagai biadab terhadap Sultan Mizan dan Dato’ Seri Abdul Hadi.

Ciapan Twitter itu jelas bertujuan untuk memburukkan Sultan Terengganu dan Ahli Parlimen Marang itu.

“Saya sesungguhnya percaya kenyataan yang dikeluarkan olehnya merupakan satu penghinaan, mempertikai, mempersenda serta bermaksud merendahkan nama, kedudukan dan batang tubuh Tuanku serta Institusi DiRaja,” tegas beliau.