Polis mesti henti ugut melalui media

229

http://buletinonline.net/images/stories/berita33/polis.jpgSaya amat kecewa melihat Ketua Polis Negeri Selangor, Khalid Abu Bakar membuat kenyataan bersifat ugutan melalui media terhadap peguam Shamsul Iskandar yang juga Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK).

Memang benar rakyat Malaysia mengikuti dengan rapat perkembangan kes pembunuhan mendahsyatkan Sosilawati (gambar kiri) dan rakan-rakan beliau.  Sebarang usaha untuk membawa pesalah ke muka keadilan mesti disokong.  Jika pihak polis percaya bahawa Shamsul mempunyai maklumat yang dapat membantu siasatan, beliau wajib dipanggil untuk memberi kenyataan.

Walau bagaimanapun, saya pasti Khalid Abu Bakar yang berpengalaman lama ini sedar akan tatacara asas yang mewajibkan notis di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah dikeluarkan untuk merakamkan kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah.

Malangnya, aturan yang betul ini tidak diikut dan Khalid Abu Bakar didapati membuat kenyataan kepada pihak media dengan ugutan penangkapan Shamsul.  Ini merupakan kelakuan yang tidak profesional oleh seorang yang berpangkat tinggi seperti Khalid Abu Bakar.

Saya (Elizabeth Wong, gambar kanan) berharap pihak polis akan mengambil pendirian neutral dari segi politik dan terus menjalankan tugas dengan profesional supaya kes-kes pembunuhan Sosilawati dan banyak lagi dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

*Kenyataan media oleh Elizabeth Wong selaku Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor.