Pilihan Tepat, Tahniah MB Terengganu

922

Oleh : DMS

KUANTAN – Kemenangan  Menteri Besar Terengganu sebagai Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) adalah tepat dalam membantu pemimpin tertinggi parti untuk merealisasikan ‘Islam Memimpin Perpaduan’.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berkata, kemenangan tersebut membuktikan bahawa kerajaan Terengganu yang diterajui oleh PAS telah berjaya menyatupadukan rakyat sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 9 Mei tahun lalu.

“Dengan kejayaan memimpin kerajaan Terengganu sekarang berpandukan politik matang dan sejahtera yang didokong oleh semua rakyat, saya yakin dan percaya Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dapat berkongsi pengalamannya di peringkat parti.

” Sekalung syabas dan tahniah buat Menteri Besar KITA, ” ujar perwakilan Setiu itu ketika ditemui di hari kedua Muktamar Tahunan PAS Kali Ke 65 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Bandar Indera Mahkota di sini pada 22 Jun.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah diumumkan sebagai Naib Presiden PAS bagi sesi 2019-2021 oleh Pengerusi  Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat, Dr Mohd Fuad Mohd Salleh bersama dua lagi penyandang Naib Presiden, Ustaz Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato Haji Mohd Amar Abdullah yang menang tanpa bertanding.

Shafizi juga menyokong penuh ucapan dasar Presiden PAS Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang menyentuh kejayaan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu dalam menjaga  menjaga kebajikan dan keharmonian rakyat.

“Dengan slogan ‘Islam Memimpin Perpaduan’ yang diangkat pada muktamar kali ini, semua negeri harus menjadikan contoh pentadbiran di Kelantan dan Terengganu dalam usaha kita menawan hati rakyat untuk kemenangan di Pilihan Raya Umum ke 15 nanti, Insha-Allah.” tegasnya lagi.