Piagam Muafakat Nasional : Misi Selamatkan Malaysia

434

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Piagam Muafakat Nasional adalah satu ‘platform’ bagi misi untuk menyelamatkan Malaysia setelah rakyat melihat ketidakmampuan Pakatan Harapan(PH) untuk  mentadbir negara dengan baik.

Ketua Penerangan PAS Kawasan Dungun, Naraza Muda berkata, paling utama apabila komponen PH iaitu DAP begitu celupar, berani mengganggu dan mencabar terutama sekali perihal orang Islam di negara ini.

“bila Institusi Diraja kita yang menjadi asas kemakmuran negara kita, Raja Perlembagaan disentuh, maka berlakulah kebangkitan di kalangan Melayu terutama sekali umat Islam di Malaysia,” jelasnya.

Beliau menegaskan demikian ketika diminta mengulas piagam tersebut yang telah ditandatangani oleh dua parti terbesar orang Melayu iaitu PAS dan Umno, sabtu lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra(PWTC) pada Isnin, 16 September.

Menurutnya, sehingga hari ini, mereka gagal membuktikan kesalahan dan segala pertuduhan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Seperti Isu 1MDB yang menjadi cetusan kemarahan semarak gerakan menjatuhkan Umno dan Barisan Nasional (BN) waktu itu.

“Dalam masa yang sama, mereka gagal untuk menunaikan manifesto yang mereka janjikan seperti nak hapuskan tol, nak menurunkan harga minyak sehingga RM1.50,” ujar beliau.

Justeru itu, katanya lagi, walaupun sebangsa, seagama tetapi prinsip perjuangan agak berbeza.

“Tapi demi menyelamatkan negara kerjasama ini kita terjemahkan menjadi satu gerakan kita selamatkan Malaysia,” tambah Naraza lagi.