PH Guna Hujah Khianati Rasul, Halalkan Janji Palsu

1192

KUALA TERENGGANU – Parti Pakatan Harapan (PH) menggunakan hujah yang mengkhianati Rasulullah SAW, untuk menghalalkan janji palsu dalam manifesto pada pilihanraya umum (PRU) ke – 14 yang lalu.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali berkata, PH telah gagal menunaikan janji mereka kepada rakyat dengan memberikan pelbagai dalih dan alasan.

“Menuduh Nabi saw tak tunai janji? Tidakkah itu tuduhan khianat terhadap baginda SAW? Kalau tak mampu tunai janji janganlah melalut membabitkan Rasulullah.
“Tidak benar dan sangat tersasar berhujah dengan peristiwa umrah dan perjanjian Hudaibiyah zaman Nabi saw untuk mewajarkan langgar janji manifesto,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataannya pada hari ini, Isnin, 17 disember

Menurutnya, parti tersebut hendaklah membetulkan semula hujah batil yang melibatkan nama dan sifat mulia nabi Allah itu dan melunaskan segala janji.

Tambah beliau, umrah dan ibadah yang dilakukan oleh para sahabat adalah perancangan oleh Nabi setelah baginda bermimpi masuk ke masjid haram.

“Mimpi para Nabi adalah wahyu. Tahallul Umrah (keluar daripada Ihram) kerana tidak dapat memasuki Makkah rentetan perjanjian Hudaibiyah adalah perintah Allah dan Rasul.

“Janji bahawa mereka pasti memasuki Masjid Haram adalah janji Allah buat umat Islam di Madinah khususnya para Muhajirin,” jelasnya.

Justeru itu beliau berkata, perjanjian tersebut terlaksana dua tahun selepas perjanjian Hudaibiyah apabila berlakunya pembukaan kota Mekah.

“Janji Allah pasti benar,” katanya.