PH Gagal Memartabatkan Dan Memuliakan Islam

3707

Oleh : Adli Mohamad

KUALA TERENGGANU- Slogan ‘Rahmatan Lil Alamin’ yang dilaung dan diperjuangkan oleh sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal memartabatkan dan memuliakan Islam.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin berkata, ini menyebabkan Islam semakin dihina dan dicela.

“Mereka melaungkan slogan Islamisasi, Islam Liberal….. Islam mengikut acuan Barat, mereka bergerak secara harakah Islam,

“tetapi tidak kepada agenda dan pemikiran Islam,” ujarnya.

Beliau berucap merasmikan Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS Pusat pada 13 September 2018 yang diadakan di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu.

Menurut Hashim, pemimpin Islam mereka sungguh mengelirukan dan mencelarukan orang awam.

“Islam mengajar agar berlembut dengan orang Islam, berlembut dengan orang beriman,

“sebaliknya (mereka) berkeras dengan orang beriman, (tetapi) berlembut dengan orang kafir,” tegasnya.

Tambah beliau lagi, politik Islam diterima, tetapi menolak parti Islam.

“Mereka mengatakan Islam syumul, tetapi menolak hukum Islam, mereka menghadkan hukum Islam di dalam ibadah semata-mata,” jelasnya.

Selain itu, Hashim juga menyentuh isu kerjasama PAS dengan Umno yang disifatkannya bukanlah tetap tetapi hanya mengikut keadaan semasa.

“Sejak Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis memperlihatkan kerjasama PAS dan Umno positif tanpa mempedulikan (kritikan) musuh,

“politik pada hari ini berhajat pada kesepaduan Melayu Islam untuk membela maruah Islam,” ujarnya.

Menurutnya Umno perlu diperbetulkan kefahaman dengan melihat Umno bukan lagi musuh tetapi sebagai sasaran dakwah untuk mengembalikan mereka kepada fahaman Islam.

“Mereka telah lemah dan datang kepada kita,(kita) kena melihat dari sudut Islam, bukan (kepentingan) politik dan sebagainya,” jelasnya.

Walau bagaimanapun menurutnya apapun bentuk kerjasama yang berlaku mestilah menguntungan Islam.