Pertemuan Hadi Dan Zahid : Perkukuh MN, Pertahan PN

116

Oleh : Aziz Hambali

MARANG – PAS dan Umno kekal konsisten dengan pendirian rasmi iaitu perkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan pertahankan Perikatan Nasional (PN).

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang berkata PAS dan Umno adalah tunjang kekuatan orang Melayu dan Islam.

“Kita kena pastikan tunjang ini terus diperkuatkan demi rakyat dan Ummah” ucap beliau dalam satu pertemuan tertutup antara pemimpin tertinggi Umno dan PAS, semalam.

Terdahulu, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah itu menerima kunjungan dari pihak Umno yang diketuai oleh Presidennya sendiri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut hadir dalam pertemuan yang berlangsung lebih kurang dua jam itu ialah Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Dalam perkembangan yang sama, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Ir Ts Khairil Nizam berkata, apapun percaturan yang ingin dilakukan, perpaduan Melayu-Islam yang menjadi tonggak kestabilan politik negara ini mesti diperkukuhkan.

“Inilah gagasan yang telah sekian lama diusahakan Dato Seri Tuan Guru Presiden PAS,

“Kami, Pemuda PAS komited dalam perpaduan Melayu-Islam yang menjadi teras kepada Rakyat Malaysia yang berbilang kaum” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, semalam.

Beliau turut menyeru agar semua pihak yang terbabit memperkukuhkan Muafakat Nasional yang sudah dibina ini yang menjadi harapan seluruh rakyat Malaysia.