Pertemuan Bincang Kepentingan Negeri Dan Negara

1093

Oleh KAM

MARANG – Kunjungan hormat Presiden PAS, Menteri Besar Terengganu dan rombongannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu positif bagi kepentingan negeri serta negara.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengesahkan, pertemuan itu di Putrajaya bagi penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri Terengganu.

Antaranya, kata beliau berkait isu Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) yang baharu ditubuhkan pada 1 Februari lalu.

“Pertemuan itu lebih kepada penyelarasan antara kerajaan negeri (Terengganu) dengan kerajaan Pusat.

“Isu Majlis Tindakan Ekonomi, projek-projek ada kerajaan pusat, kerajaan negeri supaya tidak ada percanggahan. Kita mahu betul-betul turun kepada rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Dun Alor Limbat 2019, di Dewan Taman Padang Midin, Alor Limbat, Marang, hari ini.

Mengulas lanjut isu itu, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, buat masa ini pelantikan anggota Majlis Tindakan Ekonomi itu tidak melibatkan wakil kerajaan negeri.

“Antaranya, dia lantik dari Pusat sahaja, tidak ada daripada negeri. Tidak bolehlah. Sebab, dia (projek) hendak turun ke negeri mestilah kena ada wakil kerajaan negeri.

“Jika tidak ada (wakil), jadi macam dahululah, macam Umno. Sedangkan dia (Pakatan Harapan) kata hendak buat perubahan,” tegasnya.

Menjawab persoalan bayaran royalti, kata Ahli Parlimen Marang itu bahawa baki royalti 2018 telah dibayar oleh kerajaan Persekutuan.

Namun, kata beliau agak terkilan apabila pembayaran royalti kepada Terengganu itu dibuat pemotongan hutang negeri kepada kerajaan Pusat.

“Royalti 2018 dibayar, Alhamdulillah. Cumanya dipotong hutang kerajaan negeri. Yang peliknya, Sabah dan Sarawak tidak dipotong hutang.

“Mengapa kita di Terengganu, Kelantan dipotong hutang. Kelantan belum diselesai kerana berkait dengan mahkamah. Kelantan sudah tarik (saman).

“Untuk (bayaran) 2019 akan dirundingkan lagi. Kita (Terengganu) terimalah dahulu dia bagi (bayar), yang potong-potong itu bincang kemudian,” jelasnya kepada wartawan.

Hadir sama pada majlis itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu, Yahaya Ali, Exco Kerajaan Terengganu, Ariffin Deraman dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Terengganu, Jeffri Chua.