Pertanian Fertigasi Dan Bandar Janjikan Pulangan Lumayan

271

Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN – Pertanian Fertigasi dan Bandar menjanjikan pulangan yang lumayan kepada pengusahanya jika dijalankan secara sistematik.

Naib Yang Di Pertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Hazri Jusoh berkata, pihak tersebut juga komited untuk membantu golongan asnaf didalam sektor ini.

“Kita akan usahakan untuk mendapatkan kawasan dan sumber kewangan dari mana mana agensi bagi menjalankan projek pertanian atau kolam ikan untuk golongan asnaf.

“Dengan cara ini, semoga ianya dapat mengurangkan kebergantungan golongan tersebut dengan bantuan dana dari kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengawai Penyelaras DUN Kijal berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pertanian Pertigasi di Darul Iman Traning Centre (DITC), Teluk Kalong pada semalam.

Oleh itu, katanya, kursus tersebut diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan membuka minda serta peluang kepada masyarakat agar melibatkan diri dalam Pertanian itu yang semakin popular sekarang.

“Sampai bila golongan ini perlu mengharapkan sumbangan dan dana dari kerajaan tanpa membangunkan pendapatan sendiri,” ujar beliau.

Lujnah Asas Tani Dan Alam Sekitar Kemaman (LATAS) yang dipengerusi oleh Zawawi Mohamed telah menganjurkan kursus tersebut anjuran bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Kijal, Pejabat Pertanian Daerah Kemaman dan DITC.

Beliau menambah, pembentangan kertas kerja kursus dibentangkan oleh Pegawai Pertanian Negeri Terengganu Puan Noaini Mamat.

Turut hadir ialah konsultan pemasaran Mahmud Abdul Razak dan seramai 134 peserta menyertai program tersebut dari seluruh kawasan Kemaman.