Pertahan Islam, Dalam  Negeri Dan Luar Negara

511

Oleh : Rohayati Ripin (SR)

TEMERLOH – Muslimat Muda PAS (Ameerah) digesa supaya mempertahankan Islam di dalam negara ini dan menyokong gerakan Islam di luar negara.

Timbalan Pengarah Ameerah Negeri Terengganu Asma Abdullah berkata, perkara yang berkait dengan ajaran Islam hendaklah diterima dan patuh serta perkara yang bertentangan dan bercanggah mestilah ditolak.

“Negara Malaysia termasuk negara-negara luar sedang menghadapi ujian, cabaran yang sangat hebat, begitu jugalah dengan gerakan Islam dan pejuangnya. Ia satu kumpulan yang nak menegakkan Islam yang nak menegakkan nilai-nilai murni dalam sebuah negara termasuklah di negara kita hari ini.

“Malaysia kita hari ini  bermula daripada mereka yang mencabar hak asasi ataupun mencabar hak orang Melayu. Antara cabaran yang merangkumi semua dari sudut perkara yang berkait dengan istana, institusi-institusi agama dan hak bumi melayu kita.

“Saya nak sebut satu isu yang berlaku baru-baru ini berkenaan dengan ICERD, adalah satu isu yang bukan isu politik tapi isu yang mengaitkan umat Islam. Itulah pengalaman dan  tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk mempertahankan negara kita daripada terus dijajah oleh pemikiran-pemikiran yang hendak menghancurkan Islam,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalan majlis Karnival Anak Muda Pentas Ameerah Pantai Timur 2019 di TMG Mall, Temerloh, pada Sabtu 12 Januari.

Katanya, cabaran globalisasi yang berlaku diseluruh negara umat Islam terhadap gerakan Islam, sentiasa akan berlaku disemua penjuru.

“Kita lihat bagaimana dari Amerika, di Eropah, di China mahupun di Rusia semuanya menghalakan (serangan) kepada Islam. Maka berlakulah pada hari ini konsepnya menakluk ekonomi, ketenteraan dan media. Mereka bukan sahaja menakutkan (dengan) Islamofobia dan menakutkan orang Islam (daripada) ajaran Islam bahkan lebih dari itu.

“Mereka hendak melaksanakan demokrasi barat sebagaimana mereka boleh meluluskan pelacuran, mengadakan perkahwinan sejenis, seks bebas dan sebagainya.

“Bagaimana seperti golongan LGBT, golongan yang menyokong kelab-kelab untuk menjadikan satu persatu Islam yang ada dalam jiwa, tubuh, darah yang mengalir dalam diri kita hari ini dipertikaikan (antaranya) tentang kewajipan menutup aurat wanita islam, mereka mempertikaikan (hukum) murtad bahkan hukum baju wanita pun mereka pertikaikan,” jelasnya.

Oleh itu menurut Asma, itu adalah  diantara cabaran yang sangat hebat sedang meracuni pemikiran anak-anak muda Melayu Islam pada hari ini.

Justeru itu, beliau menyeru semua anggota Ameerah untuk memperjuangkan Islam dan menjadikan cabaran tersebut sebagai satu momentum untuk bangkit menyatakan kecintaan kita kepada Islam.