Perlantikan Tan Sri Tony Fernandez Sebagai Ahli Lembaga Pengarah

1118

Berhubung dengan perlantikan Tan Sri Tony Fernandez sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), saya fikir kita perlu melihat lebih lanjut sumbangan yang boleh diberikan oleh Tan Sri Tony Fernandes terhadap objektif UNISZA secara keseluruhannya. Beliau seorang usahawan yang mempunyai nama di peringkat global dan mempunyai kelebihan tertentu yang boleh dimanfaatkan.

2. UNISZA yang kini berada dibawah Kementerian Pendidikan asalnya adalah milik Kerajaan Negeri Terengganu sebagai pusat pengajian tinggi yang menawarkan pelbagai kursus dengan imej Islam. Ketika itu ia dikenali sebagai Kolej Agama Sultan Zainal Abidin. Namun begitu selepas BN mengambil alih kerajaan daripada PAS, ia diserahkan kepada kerajaan persekutuan dan menyebabkan hilang imej Islamik yang menjadi identiti KUSZA.

3. Perlantikan Tan Sri Tony Fernandes oleh Kerajaan PH adalah pilihan oleh kerajaan yang ada sekarang. Sebagai rakyat Terengganu dan seorang yang beragama Islam, dengan identiti dan asal usul UNISZA yang asalnya kolej agama milik negeri Terengganu, saya lebih berharap Lembaga Pengarah yang ada mengangkat kembali peranan UNISZA yang sinonim dengan Islam dan memberi lebih ruang kepada individu berkelayakan daripada kalangan rakyat Terengganu agar diberi ruang.

4. Saya tiada halangan penyertaan bukan Islam dalam menyumbang kepakaran kerana kita berada dalam negara berbilang kaum yang perlu terbuka kepada perkongsian ruang kepada semua untuk berperanan. Tahniah diucapkan kepada Tan Sri Tony Fernandes dan semoga Tan Sri dapat membantu pembangunan di UNISZA dan saya juga berminat jika ada ruang boleh dibincang kerjasama kepakaran, teknikal dan ruang pelaburan untuk dibawa ke Terengganu oleh Tan Sri.

Haji Ahmad Amzad Hashim
Parlimen Kuala Terengganu (P036)
14 Oktober 2018/ 5 Safar 1440H