Perkasakan Perjuangan Parti

234

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Parti Islam Semalaysia (PAS) negeri Terengganu bukan sahaja ingin mempertahankan kemenangan tetapi juga mahu memperkasakan perjuangan gerakan Islam tersebut.

Pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Kawasan Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh yang memberi ingatan itu kepada Ahli Jawatankuasa PAS cawangan bahawa, tidak ada ertinya kemenangan sekiranya masih gagal membentuk diri menjadi ‘ansarullah’ .

“Mereka memiliki sifat kawalan, disiplin yang tinggi, pengorbanan dan thiqoh kepada kepimpinan serta memiliki ukhuwah sesama sendiri sehingga sampai ke peringkat sanggup mengutamakan saudara seperjuangan lebih daripada diri mereka sendiri.

“Walaupun kita boleh pertahan kemenangan tiga(atau), empat penggal, lima(atau), enam penggal  ke depan (di masa depan) tetapi kita duduk dalam perjuangan tidak merasai kemanisan.

“Tiada kemanisan sebenarnya sehingga mungkin boleh timbul dalam kepala kita bisikan-bisikan syaitan yang boleh membawa kepada kita gugur daripada perjuangan,”jelasnya.

Beliau melahirkan kekesalannya ketika berucap di Majlis Ramah Mesra dan Berbuka Puasa bersama Jawatankuasa PAS kawasan dan cawangan di Dewan Al Husna, Markas Tarbiyah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini pada 11 Mei.

Ustaz Jamaluddin yang juga merupakan Timbalan Dewan Ulama PAS Negeri Terengganu itu turut menegur sikap kebanyakan ahli jawatankuasa PAS di setiap cawangan yang tidak serius dengan program tarbiah.

“Kita mahu supaya tarbiah itu dipandang serius dan sudah dimulakan dalam muktamar baru ini serta dibuat pendedahan kepada cawangan-cawangan yang ‘komited’ kepada program tarbiah terutamanya usrah,” ujarnya.

Menurutnya, pendedahan tersebut adalah untuk memberi kesedaran bahawa perjuangan ini untuk mencari syurga yang dijanjikan Allah.

“Tetapi sebenarnya kita (masih lagi) tidak menepati calon ahli syurga,” katanya.