Perjuangan Tiga Dekad Majlis Syura Ulama

276

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

PAS akan menyambut ulangtahun penubuhannya ke 67 pada 24 November ini, menghampiri tujuh dekad perjuangan bukanlah satu tempoh yang mudah. Memandang cermin sisi pada perjuangan parti politik yang lain , sebahagian besarnya telah berkubur, juga yang menjadi dinasour dalam lahan sejarah termasuk parti pemerintah dalam euforia kemabukan kuasa yang sedang “berperang besar” dalam memilih pucuk kepimpinan. PAS belayar dengan damai sejahtera dilautan perjuangan, dengan nakhoda yang memahami dustur Ilahi serta Majlis Syura Ulama yang mengawal perjalanan harakatul ummah ini.

Perjalanan panjang harakatul ummah ini sangat berwarna warni, menerjang badai di samudera medan amal Islami yang luasnya tak bertepi, bersulam mehnah dan tribulasi. Dalam bahtera besar gerakan Islam PAS ini, Majlis Syura Ulama merupakan pancang perjuangan, badan terpenting, malah membezakan PAS dengan Parti-parti serta NGO-NGO yang lain. Kini, badan penting ini menerima terjahan dan kritikan daripada luar dan dalam PAS, seputar isu perlantikan MB Selangor yang dramatik. Media sosial digunakan semaksima mungkin untuk mengikis wibawa badan yang tercetus daripada usul Dewan Pemuda PAS Pusat dalam muktamar PAS pada 22 Oktober 1982, seiring dengan transformasi yang berlaku dalam kepimpinan PAS.

Semarak kebangkitan Islam telah menjelmakan konsep kepimpinan ulama, PAS dengan agresif mewajahkan wataknya yang tertegak diatas tunjang dakwah, tarbiah dan siasah. Penubuhan Majlis Syura Ulama adalah cetusan bagaimana PAS berinteraksi dengan transformasi kepimpinan itu. Badan yang menghimpunkan ulama berwibawa mentarjih halatuju dan perjalanan parti Islam tertua di negara ini, penyambung legasi Hizbul Muslimin yang diharamkan pada tahun 1948.

Peranannya jelas, iaitu Majlis Syura Ulamak berkuasa menghurai, menjelas dan mentafsir dasar PAS di mana-mana peruntukan di dalam perlembagaan PAS yang hendak menimbulkan kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat kesamaran mengenai maksud dan tujuannya serta membuat ketetapan mengenainya, mengeluarkan arahan dan perintah supaya dasar dan ketetapan ini dipatuhi dan dilaksanakan oleh mana-mana pihak atau badan di dalam PAS dan mengawasai serta memelihara dasar supaya dasar dan ketetapan serta kehendak dalam Perlembagaan parti dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS serta memelihara, menjaga dan mengawal tatatertib PAS.

Berdasarkan kepada skala tugas yang dinyatakan dalam Perlembagaan PAS, maka jelaslah penubuhan Majlis Syura Ulamak adalah kearah mengukuhkan lagi kedudukan
ulamak di dalam gerakan Islam ini dan meletakkan mereka di tempat yang sepatutnya. Peranan mereka bukan sahaja menyatu tenaga dan fikiran sesama ulamak tetapi juga terfokus dan terarah kepada persoalan-persoalan yang menyentuh dasar dan perjalanan parti ini. Segala gerak kerja PAS yang hendak dilakukan mestilah mendapat persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak. Dengan wujudnya badan ini, mampu mengatasi stail kepimpinan berorientasikan individu yang pernah berlaku dalam PAS dalam dekad 70an.

Bagi mengesahkan kepimpinan ulamak di peringkat PAS Pusat maka pindaan Perlembagaan PAS dibuat dalam Muktamar Tahunan Agung PAS Pusat yang ke-29 pada 29 April 1983 telah meluluskan pindaan Perlembagaan PAS bagi menubuhkan Majlis Syura Ulamak. Pindaan ini kemudian diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan pada 18 Mac 1987 bagi membolehkan seorang Mursyidul Am dilantik (Perlembagaan PAS, Fasal 7, 1987:4-9) dan Ustaz Haji Yusuf Rawa dilantik sebagai al-Mursyidul Am PAS pertama pada Nov 1987 . Uniknya beliau juga Presiden PAS saat itu.

Majlis Syura Ulama berfungsi sebagai badan yang memantau dan mengawal agar perjuangan parti terus selari dengan syariat Islam, tidak bercanggah dengan syarak, dengan erti kata lain, PAS terpandu dengan pedoman Islam .Ustaz Haji Yusuf Rawa menegaskan penubuhan Majlis Syura Ulama ini adalah untuk mengembalikan peranan ulamak sebagai pemimpin ummah dan segala dasar, segala keputusan parti akan sentiasa berpaut kepada ajaran Islam dan tidak akan keluar daripada panduan dan bimbingan mereka (Yusuf Rawa, 1987:18)

Penubuhan Majlis Syura Ulamak tidak lagi mahu melihat PAS membuat satu keputusan yang dikuasai oleh individu atau puak tertentu dalam parti. Kedudukan ulama PAS yang sebelum ini agak dikesampingkan, akhirnya telah mula memainkan peranan penting dalam pembentukan perjalanan parti, segala dasar yang hendak dijalankan mesti terlebih dahulu dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak. Tanpa persetujuan daripada Majlis Syura Ulamak sesuatu perkara tidak boleh dilakukan. Ini merupakan asas perubahan yang begitu
drastik sehingga tidak ada lagi mereka yang boleh mempermainkan dasar dan prinsip PAS.

Dalam sejarahnya ramai tokoh sarjana Islam menganggotai Majlis ini seperti Prof.Dr Abdul Aziz Hanafi, Prof Dr Rashid Dail, Prof Dr Salleh Ahmad, Dr Sabri Salamon, Prof Madya Dr Johari Mat, Prof Dr Kamaruzaman Yusuf, Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Almarhum Ustaz Yahya Othman, almarhum Dato Harun Taib dan ratusan nama sarjana Islam dalam tempoh tiga dekad ini. Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul Am yang kedua dan dibantu oleh Prof. Dato Dr Harun Din. Abnaul harakah wajib berterimakasih atas keberadaan majlis tertinggi ini dalam parti Islam kerana mereka adalah vanguard atau pengawal yang meluruskan perjalanan parti Islam ini , bak kejora dilangit malam yang indah.

Ayuh rakyat Malaysia, tak rugi kalian bersama bahtera perjuangan ini yang teguh mendakap prinsip serta anjal dalam menentukan strategi perjuangan. Wadah Islami ini istiqomah menjadi pembenteng agama walau dikepung oleh ahzab moden dan para pembenci.