Perjuangan PAS Bukan Kepentingan Kepartian

830

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU – Perjuangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bukanlah semata-mata perjuangan bersifat kepartian, tetapi perjuangan ini telah termaktub di dalam perlembagaan.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Haji Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara tersebut dinyatakan di dalam Ucapan Dasar Presiden PAS yang disampaikan oleh Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

“Ianya jelas bertujuan untuk mengangkat kedudukan Islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas oleh pemberita mengenai ucapan dasar tersebut sewaktu Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-64 di Stadium Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, baru-baru ini (16 September).

Menurutnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) menjadi penghubung kepada usaha-usaha lain bagi mendekati kelompok bukan Islam.

“Presiden telah meletakkan peranan kita di dalam menarik sokongan masyarakat berbilang kaum dengan menegaskan kepentingan memperkasakan DHPP sebagai penghubung.

“Lebih-lebih lagi dengan adanya minat daripada parti-parti yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN) seperti MIC yang telah turut hadir ke Muktamar baru-baru ini,” tambah beliau lagi.

Tambahan pula, beliau juga sangat berpuas hati dengan kemeriahan Muktamar kali ini yang dihadiri ribuan penyokong PAS termasuk orang bukan Melayu.