Peristiwa 9/11: Perang Menentang Keganasan atau Perang Menentang Islam ?

223

Minggu ini pada tanggal 11hb September 2019, genap sudah 18 tahun tragedi 11 September atau 9/11 yang berlaku pada tahun 2001 apabila penganas melakukan serangan ke atas bangunan World Trade Center, New York, Amerika Syarikat dan bangunan Pentagon yang mengorbankan tidak kurang dari tiga ribu nyawa.

Serangan itu mencetuskan ketakutan dan kegusaran akan kemampuan kumpulan yang disifatkan sebagai pengganas oleh kerajaan di seluruh dunia. Maka sejurus itu bermulalah kempen yang dicetuskan oleh Amerika Syarikat apa yang disifatkan sebagai kempen memerangi keganasan. Namun di sebalik kempen tersebut, umat Islam di seluruh dunia merasai kesan yang amat besar kerana kempen tersebut telah melabelkan Islam dan umatnya sebagai pendokong dan agama yang berteraskan keganasan.

Maka selepas tragedi serangan ini, George W. Bush bekas Presiden Amerika Syarikat menuduh Osama bin Laden dan kumpulan Al-Qaeda yang diketuainya bertanggungjawab di atas kejadian tersebut lalu mengisytiharkan kempen perang menentang keganasan di seluruh dunia. Sasarannya ialah terhadap kumpulan-kumpulan jihadis dan negara-negara yang menyokong kumpulan tersebut. Namun begitu, impak daripada kempen tersebut turut dirasai oleh Dunia Islam, NGO, pertubuhan kebajikan mahupun orang perseorangan yang menjalankan kegiatan di atas nama Islam kerana ia telah mula dipandang serong dan diragui walaupun di atas tujuan yang mulia dan kebaikan.

Amerika Syarikat tidak mengambil masa yang lama untuk bertindak balas di atas kejadian tersebut. Sebulan selepas kejadian 9/11, perang dilancarkan ke atas Afghanistan yang menjadi negara persembunyian Osama bin Laden dan kumpulannya dengan mendapat perlindungan dari Taliban yang memerintah Afghanistan pada ketika itu. Akhirnya, ibu kota Afghanistan iaitu Kabul telah jatuh ke tangan Amerika Syarikat setelah bertali arus serangan dilancarkan. Taliban telah ditewaskan, begitu juga Osama Bin Laden dan kumpulan pimpinannya Al Qaeda.

Peperangan tersebut sebenarnya amat mudah sekali buat Amerika Syarikat kerana Taliban mahupun Al Qaeda tidak mampu menyaingi kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat dan sekutunya yang mempunyai senjata peperangan yang moden dan terkini berbanding Taliban mahupun Al Qaeda yang yang rata – rata mereka mengguna senjata buatan Soviet Union yang dirampas ketika perang Afghanistan – Soviet Union pada tahun 1980an dan 1990an.

Taliban yang memerintah Afghanistan ketika itu adalah kerajaan yang paling tidak berkemampuan di dunia dalam segenap sudut dan Afghanistan pula adalah antara negara yang paling miskin dan terkebelakang di dunia berbanding Amerika Syarikat yang merupakan negara yang terkuat di dunia samada dari sudut ketenteraan, ekonomi dan teknologi. Namun begitu Taliban terus menghantui Amerika Syarikat walaupun Osama bin Laden telah dibunuh dan kumpulan Al-Qaeeda dihancurkan. Ia menjadi perang paling lama dalam sejarah Amerika Syarikat dengan kos perbelanjaan yang cukup besar, kadar kematian tentera Amerika Syarikat yang cukup tinggi, startegi ketenteraan yang kucar kacir serta polisi peperangan dan luar negara yang menghancurkan reputasi Amerika Syarikat sebagai kuasa besar dunia.

Sekarang Amerika Syarikat sedang berusaha untuk berunding dengan Taliban sebagai strategi jalan keluar Amerika Syarikat daripada konflik Afghanistan dan menutup kegagalan polisi mahupun strategi mereka. Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah mengumumkan bahawa akan di adakan satu majlis menandatangi penjanjian damai di antara Amerika Syarikat, Taliban dan Kerajaan Afghanistan di Camp David, Maryland, Amerika Syarikat. Rata – rata sekutu Amerika Syarikat mahupun penyokong Donald Trump seperti sudah nampak jelas Amerika Syarikat telah temui jalan keluar dari Afghanistan.

Namun kemudian Donald Trump membatalkannya dan memecat Penasihat Keselamatan Negara, John R. Bolton setelah bercanggah pendapat dengan beliau dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo berkenaan pelan damai Amerika Syarikat dan Taliban. Jelasnya, Amerika Syarikat telah gagal di Afghanistan, sama juga dengan Soviet Union dahulu ketika berimpian untuk berperang seterusnya menakhluki Afghanistan. Afghanistan sebenarnya menjadi iguan ngeri kuasa – kuasa besar dunia di mana Amerika Syarikat menjadi kuasa besar terbaru yang tumbang dan berkubur di sana.

Apa yang lebih penting ialah landskap politik dunia telah berubah sejak dari peristiwa tersebut. Asalnya perang menentang keganasan namun telah bertukar menjadi perang menentang Islam oleh kerana Osama bin Laden seorang Muslim. Adakah ianya berlaku dengan sengaja atau tidak, masing-masing mempunyai jawapannya tersendiri. Apa yang pasti sejak tragedi tersebut, telah mula berkembangnya kebencian terhadap Islam sehingga lahirnya fenomena Islamophobia yang melanda masyarakat dunia sehingga Islam dituduh sebagai punca kepada keganasan yang berlaku di seluruh dunia. Ini terbukti daripada respon pemimpin-pemimpin Barat samada dari kelompok ahli politik, ahli ugama dan kelompok-kelompok lain yang berpengaruh dalam masyarakat yang mula menyerang Islam bertubi-tubi.

Antaranya kenyataan Pope Benedict ke 16 yang menuduh Nabi Muhammad S.A.W menyebar ugama Islam dengan pedang. Begitu juga karikatur-karikatur Barat yang menghina Nabi Muhammad S.A.W. dengan mengambarkan baginda adalah seorang penganas. Ditambah lagi kenyataan-kenyataan dari pemimpin-pemimpin politik Barat yang bersikap prejudis terhadap Islam seperti sikap Donald Trump yang berterusan mengaitkan keganasan dengan Islam.

Fenomena ini bukan sahaja berlaku di negara-negara Barat yang kononnya menjadi mangsa kepada pengganas yang anti kepada kebebasan dan demokrasi bahkan ianya merebak ke seluruh pelusuk dunia termasuk Dunia Islam sendiri. Maka di atas slogan perang menentang keganasan, Israel menjadikannya sebagai alasan untuk menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam seperti HAMAS, Jihad Islami dan Hizbullah. Begitu juga negara-negara Arab yang diperintah secara diktator samada pemerintahan beraja atau demokrasi mengambil peluang ini untuk mengharam dan menghapuskan kumpulan-kumpulan Islam sederhana yang mengambil pendekatan demokrasi pilihanraya seperti gerakan Ikhwan Muslimin Mesir. Bahkan lebih dari itu lagi, ia melangkaui tindakan oleh sesetengah negara-negara Islam yang tidak membenarkan ayat-ayat Al-Quran berkait dengan peperangan dan kejahatan Yahudi diajar kepada pelajar-pelajar dengan alasan ia boleh merosak pemikiran mereka dan menggalakkan mereka untuk menjadi pengganas.

Namun sejak akhir – akhir ini terutamanya di Amerika Syarikat dan Eropah, data telah menunjukkan bahawa keganasan utama yang paling banyak berlaku terutamanya di Amerika Syarikat sendiri ialah oleh White Supremacist, bukannya Islam. Kumpalan radikal dan ektrimis berhaluan kanan ini bukan sahaja bertindak ganas terhadap orang Islam malah juga terhadap kaum dan bangsa lain yang bukan berkulit putih termasuk bangsa Yahudi. Tidak cukup dengan dizalimi dan ditindas, malah ada yang diseksa dan dibunuh tanpa ada belas kasihan. Nampaknya kempen menentang keganasan tidak menjadi seperti yang di damba kerana semenjak akhir – akhir ini juga, keluhan Islam dan umatnya telah mula didengari dan diambil peduli serta sebenarnya telah mula diketahui menjadi mangsa percaturan geopolitik dunia dengan propaganda dan memberikan gambaran buruk bahawa Islam dan umatnya adalah ekstrimis dan pengganas.

Jihad Menjadi Mangsa
Perang menentang keganasan sedaya upaya akan cuba dikaitkan dengan Jihad sehingga perkataan ini menjadi begitu popular dan menjadi buah mulut masyarakat dunia. Jihad telah digambarkan secara salah oleh media barat terutamanya yang mempunyai agenda tersembunyi dan buruk terhadap Islam. Islam tidak membenarkan kekerasan digunakan tanpa sebab yang munasabah malah turut menghalang umatnya bertindak zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Interpretasi Jihad yang sebenar dalam Islam ialah mempertahankan agama, tanah air, harta benda dan keluarga namun Jihad telah digambarkan sebagai berperang atau memulakan perang tanpa sebab yang munasabah, menakluk mahupun bertindak ekstrim terhadap non muslim. Sejak trajedi 9/11, apa sahaja berkaitan atau perbuatan yang bersangkutan Jihad walaupun ia mempunyai tujuan baik dan mulia seperti jihad ekonomi mahupun membebaskan negara yang dijajah seperti Palestin telah diputar belit, dipropagandakan serta disensasikan sebagai tindakan keganasan.

Namun Zionist Israel yang menjajah Palestin dan menzalimi rakyatnya tidak pula dianggap ekstrimis mahupun pengganas sedangkan mereka telah membunuh dan menghalau keluar rakyat Palestin dari tanah air mereka. Mana – mana individu, kumpulan mahupun negara yang menyokong tindakan kempen Boycott, Divestment dan Sanction ( BDS ) terhadap Israel di mana – mana ceruk dunia dianggap menyokong pengganas dan mungkin dikategorikan sebagai pengganas namun Israel yang sememangnya pengganas dibiarkan begitu sahaja.

Jihad adalah sesuatu yang mulia di sisi Islam namun telah diberikan gambaran yang salah serta dipropagandakan sebagai sesuatu yang ekstrim. Hipokritnya, Zionist Israel yang sebenarnya pengganas dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan. Namun apabila World Trade Center dan Pentagon diserang, sekelip mata seluruh Afghanistan menjadi medan perang dan puluhan ribu orang awam menjadi korban. Rakyat Palestin yang sudah puluhan tahun menderita dengan ratusan ribu korban tiada pula tindakan drastik membela sebegitu dan dibiarkan.

Sebenarnya Jihad dan umat Islam telah menjadi mangsa namun pengganas yang sebenar masih terus bebas dan bermaharajalela. Adakah jihad rakyat Palestin mempertahankan tanah air mereka dengan menentang Zionist Israel yang menjajah negara mereka itu dilabelkan sebagai pengganas sedangkan yang menjajah dianggap mangsa ? Jika ada yang beranggapan begitu, sebenarnya anda telah terpedaya dan terkeliru dalam memahami interpretasi Jihad yang sebenar dalam Islam.

Mangsa 11/9 dan Mangsa Perang Menentang Keganasan

Seluruh dunia mengutuk tindakan pengganas yang menyerang World Trade Centre dan Pentagon di Amerika Syarikat termasuk Dunia Islam. Islam tidak menyokong malah mengutuk keganasan serta melarang umatnya melakukan keganasan. Tindakan tersebut bukan sahaja mengakibatkan kemusnahan harta benda yang cukup besar, malahan lebih tiga ribu mangsa yang terkorban.

Namun ramai yang lupa akibat daripada kempen perang menentang keganasan, puluhan ribu nyawa yang tidak berdosa terkorban samada di Afghanistan mahupun di Iraq. Ini tidak termasuk lagi ribuan mangsa yang kehilangan anggota tubuh badan seperti putus kaki dan tangan mahupun buta akibat terkena periuk api, serangan serta pengeboman seperti “ carpet bombing “ dan sebagainya.

Mangsa – mangsa ini langsung tidak diingati malah nasib mereka tidak diendahkan. Mereka langsung tidak terbabit malah tidak menyokong keganasan namun mereka turut menjadi mangsa. Akibatnya, kita boleh lihat di Afghanistan mahupun Iraq ada kanak – kanak yang langsung tidak pernah mengenali ibubapa mereka, ramai yang cacat seumur hidup malah ada ibubapa yang kehilangan seluruh keluarga mereka. Boleh dikatakan sejak kempen perang menentang keganasan, Islam dan umatnya telah berada di tahap keyakinan yang paling rendah, maruah serta wibawanya turut tercalar serta dipandang dengan pandangan yang cukup keji dan hina.

Sampai bilakah Islam dan umatnya harus dilihat sebegitu dan Islamophobia dibiarkan berleluasa tanpa ada pembelaan mahupun pembetulan dari Dunia Islam sendiri ?

Dunia Islam perlu bangun dari tidur yang lena serta berdiri teguh sesama mereka untuk memperbetulkan keadaan dan meletakkan kembali Islam di tempat yang sepatutnya iaitu Islam adalah cara hidup, penyelamat dan pembimbing umat manusia untuk keluar dari kegelapan. Selagimana Dunia Islam dan umatnya tidak bersatu padu, selama itulah Islam dan umatnya akan ketinggalan dan tenggelam berbanding agama, kaum dan bangsa lain dalam dunia masa kini.

Saya percaya jika umat Islam bersatu padu, saling percaya mempercayai serta berusaha membantu di antara satu sama lain, segala kekeliruan, tuduhan mahupun persepsi buruk mampu ditangkis serta diperbetulkan. Islamophobia juga lama kelamaan akan hilang dan terhapus manakala dunia akan melihat Islam dalam prespektif dan ertikata sebenar, Islam adalah agama yang cintakan keamanan dan kedamaian.

Sudah sampai masanya Dunia Islam berpandangan jauh dan mencorak masa depan dunia. Islam bukan lagi sepatutnya menjadi umpatan dan cacian, Islam sepatutnya menjadi pujian dan contoh kepada seluruh umat manusia. Begitu juga Dunia Islam, dengan segala kelebihan yang dikurniakan Allah SWT sepatutnya Dunia Islam mampu bersinar kembali dan menjadi peneraju dunia. Sampai masa Islam, umatnya dan Dunia Islam berubah, berubah untuk menjadi lebih baik dan menjadi contoh kepada seluruh umat manusia. Dunia Islam mampu berubah.

Islam Memimpin.

YB Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Hubungan Luar dan Antarabangsa PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk.