Perihal Belalai

542

Rasa takut juga aku apabila selepas aku menulis semalam pasal Pok Jak, langsung terlihat akan pos di FB yang menunjukkan ada serangan atau fitnah terhadap orang politik, dan ianya hampir sama dengan kisah 20 tahun dahulu. Takutlah juga aku sebab aku tulis punggung, punggung tu. Takut ada yang terliur.

Semalam kita digemparkan dengan sebuah pendedahan yang agak mengejutkan oleh pihak yang tidak takut dosa dan pahala dalam berpolitik. Kisah kemusnahan moral bagi menjatuhkan seseorang, telah bermula semenjak dari dahulu lagi. Bagaimana Nabi Luth a.s dituduh menyimpan anak muda yang tampan oleh musuh beliau, penduduk Sodum, telah dinukilkan dalam al-Quran.

Nabi Musa a.s pernah dituduh bersama perempuan lacur oleh ‘haters’ baginda. Akhirnya, terselamatlah Luth dengan bala yang ditimpakan oleh Allah, keatas umatnya dan Musa dengan gagalnya fitnah perempuan lacur itu.

Sebermula ketukan jari atas papan kekunci ini, suka aku mengingatkan bahawa ini bukan cara PAS. Tebuklah ikut mana, koreklah dari manapun, ia tidak akan ada bukti bahawa cara ini adalah cara PAS. Penafian ini mesti dibaca dan difahami sebelum kita membaca perenggan selepas ini. Tiadalah kami sehina ini untuk mencampakkan diri ke neraka, sedangkan kami setiap hari mencari jalan untuk ke syurga.

Gerun rasanya dengan permainan politik seburuk ini. Ia bagaikan telah mencapai ketamadunan yang tinggi yang dimiliki oleh empayar yang besar suatu ketika dahulu, tetapi dilaknat Allah. Matlamat menghalalkan cara. Mereka berperang kerana kuasa yang kemudiannya dengan kuasa itu mereka mencampakkan diri mereka ke neraka. Mereka gila. Dosa pahala, tiada ertinya bagi mereka.

Manakala tamadun Islam pula mengajak manusia bertungkus lumus mengambil kuasa dari golongan yang dilaknat ini bagi membawa seluruh manusia ke syurga Allah, tanpa ketinggalan. Itulah rahmat dalam Islam. Samada dalam bentuk politik, pelajaran, perniagaan atau apa sahaja yang berkait dengan kehidupan ini, Islam membentang sayap rahmat dari Allah untuk semua menerimanya. Kecuali mereka yang enggan.

Inilah politik cara Islam. Mereka kenal dosa dan pahala. Masalah gagal melakukan secara keseluruhan, itu hal yang lain. Perkara pokok ialah dengan ilmu, kita berusaha dengan bersungguh-sungguh terlebih dahulu. Yang lain, Allah akan menentukan. Jauhilah golongan yang menyebarkan fitnah. Takutlah jangkitan kemurkaan dan bala Allah kerana fitnah itu. Takut ia akan merebak mengenai kita semua.

Presiden PAS sejak lama dahulu telah menegaskan bahawa bukti video tidak boleh dijadikan bukti bagi mengenakan hukuman hudud, kerana video boleh diubah. Hanya manusia menjadi saksi, atas arahan Allah. Tetapi tidak bermakna ia ditolak terus, mungkin boleh dikenakan takzir. PAS secara konsisten menolak semua bentuk video yang menunjukkan perangai keji seorang figura politik, lama dahulu. Tetapi bersorak mereka yang bodoh lagi jahil, membantah Presiden PAS.

Sekarang, ia tetap sama. Walaupun sosok lain pula yang dipertontonkan dalam video fitnah itu, PAS tetap menolak. Begitulah akhlak Islam. Kamu mahu bermain api neraka, silakan. Kami tidak berminat. PAS kekal akan menolak secara istiqamah akan segala bentuk fitnah, bagi menyelamatkan keadaan yang lebih buruk lagi, samada di dunia mahupun di akhirat. Matlamat kami ialah menjadi hamba yang taat kepada Allah. Semoga ada sedikit pengajaran atas kita orang yang mengaku bahawa Islam adalah cara hidup kita.

Jika sumpah atau pengakuan hendak dijadikan bukti penerimaan tuduhan, maka tiga kali sumpah yang dibuat dahulu di Masjid Wilayah, Mahkamah dan Masjidil Haram itu, perlu dilihat sebelum kita mahu membincangkan akuan atau sumpah terbaharu ini. Dan jika pun sumpah-sumpah ini diterima, maka tanda tanya lain berlegar, adakah pegawai kerajaan Malaysia dikuasai oleh golongan ini, setelah PH memerintah? Tidakkah gila? Mengaku dan berbangga pula dengan dosa, setelah Allah menutupinya?

Tetapi paling ditakuti ialah rasa berdosa itu terpilih kepada perkara dosa besar yang tertentu sahaja. Nanti ada yang anggap berzina samada dengan yang bujang atau pasangan orang, tidak dianggap berdosa kerana suka sama suka dan ianya bukan hubungan songsang, fitrah manusia suka kepada lawan jenisnya. Tetapi tidak bagi homoseks. Ia jijik kerana bukan tabie dan dikeji manusia. Jadi yang mereka takuti, pandangan manusia, bukan Allah. Dosa kecil? Tiada dalam kamus. Cukuplah fitnah ini. Hentikanlah.

Baiklah, berbalik kita kepada cerita belalai. Ada pernah ditanya orang akan aku, suatu teka–teki. Diantara dua gajah, gajah hidup dengan kain pelikat Cap Gajah, selain ianya benda dan binatang, apakah perbezaannya? Setelah lama berfikir, aku gagal mencari solusinya. Jawapan yang diberikan kepada aku ketika itu ialah bezanya gajah hidup, belalainya di luar dan kain pelikat Cap Gajah, belalainya di dalam, sebab biasanya Pak Haji yang memakai kain pelikat.

Kemudian sekarang ini, timbullah soalan lain, jika Mak Haji pula yang memakai kain pelikat Cap Gajah itu? Jika Mak Haji yang pakai kain pelikat, maknanya Pak Hajilah yang pakai kain batik, tertukar. Jadi? Jadinya walaupun elephant berlawan seekor dia jer, ‘rumput-rumput’ still suffer. Bukan mesti tunggu dua ekor elephants baru ‘rumput-rumput’ tu merana. Faham ke tak ni?

Mohd Nasir Abdullah
Al-Khor, Qatar
12 Jun 2019