Peranan Keluarga Dan Penjagaan Pesakit Diabetes

366
PantherMedia 906049

Penyakit Kencing Manis sudah menjadi bualan setiap orang dalam negara kita. Istilah yang sudah menjadi titipan bibir para pesakit kencing manis ini adalah Diabetes. Diabetes ialah sejenis penyakit kronik yang beban kesihatan serta beban kewangan yang besar kepada negara. Pada tahun 2016, seramai 422 juta (8.5%) daripada penduduk dunia yang berumur lebih daripada 18 tahun ke atas adalah penghidap penyakit diabetes. Di Malaysia, seramai 3.6 juta (17.5%) penduduk berumur 18 tahun dan ke atas adalah penghidap diabetes. Selain itu, diabetes telah menyebabkan kematian 1.6 juta orang di dunia pada tahun 2015. Lebih daripada 80% daripada kematian diabetes berlaku di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah.

Setiap orang wajib memahami bahawa diagnosa penyakit Diabetes adalah apabila seseorang individu itu mempunyai tahap gula yang lebih tinggi dari julat normal. Ujian khas dilakukan bagi mengesahkan penyakit Diabetes ini. Paras gula yang tinggi dalam individu yang berpenyakit Diabetes berlaku apabila pankreas dalam badan tidak lagi menghasilkan insulin yang secukupnya atau badan tidak boleh menggunakan insulin dengan berkesan. Diabetes boleh menjadi risiko utama untuk mendapat penyakit jantung atau angin ahmar.

Makanan yang dimakan bertukar menjadi gula di dalam badan dan insulin digunakan untuk membawa gula dalam saluran darah ke dalam sel dan tisu, di mana ia akan digunakan untuk membekalkan tenaga. Apabila badan kekurangan insulin, gula tidak boleh dibawa ke dalam sel dan tisu, menyebabkan paras gula dalam badan meningkat. Ini mengakibatkan kerosakan pada sel yang memerlukan glukosa untuk tenaga serta kerosakan organ dan tisu yang didedahkan kepada tahap glukosa yang tinggi.

World Health Organization (WHO) meramalkan bahawa diabetes akan menjadi salah satu daripada 7 punca utama kematian pada tahun 2030. Amalan pemakanan yang sihat, aktiviti fizikal, mengekalkan berat badan yang normal dan mengelakkan penggunaan tembakau boleh mencegah atau melambatkan serangan diabetes.

Seruan kami sempena sambutan Hari Diabetes Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah ‘Cakna Diabetes: Keluarga Prihatin, Kesihatan Terjamin’. Peranan keluarga pesakit yang menghidap diabetes amat penting bagi menjamin kesihatan optima. Kempen Cakna Diabetes pada kali ini akan memberikan tumpuan kepada menambah kesedaran mengenai impak penyakit diabetes terhadap keluarga pesakit dan untuk mempromosi peranan keluarga di dalam rawatan, penjagaan, pencegahan serta pengetahuan mengenai penyakit diabetes dan komplikasinya.

Berikut adalah beberapa tips kesihatan bagi menjamin penjagaan optima pesakit Diabetes dengan bantuan seluruh ahli keluarga tercinta:

1] Pengesanan awal penyakit juga adalah tanggungjawab keluarga. Saringan penyakit Diabetes ini boleh dilakukan di kesemua premis KKM dan swasta. Saringan ini amat penting terutama sekali bagi indvidu yang mempenyai risiko tinggi menghidap Diabetes. Kajian mendapati 1 daripada 2 orang dengan diabetes terlepas dari diagnosis sebenar kerana tidak melakukan saringan. Oleh yang demikian kecaknaan tinggi kaum keluarga amat penting untuk selalu mengingatkan ahli keluarga mereka melakukan saringan kesihatan.

2] Mencegah lebih baik dari merawat. Pepatah itu selalu bermain dibibir setiap kita tetapi masih alpa untuk bertindak. Banyak kes diabetes jenis II boleh dicegah dengan menjalani gaya hidup yang sihat. Mengurangkan risiko keluarga untuk penyakit ini adalah bermula di rumah. Sepatutnya setiap ahli keluarga perlu menjadi role model kepada diri sendiri dan ahli keluarga lain dalam menjalani gaya hidup sihat. Apabila ada ahli keluarga yang mengamalkan pemakanan yang sihat dan senaman rutin, ini akan memotivasikan ahli keluarga yang lain untuk mengamalkan gaya hidup yang sama.

3] Jika anda mempunyai faktor keturunan penyakit diabetes, menjadi tanggungjawab anda untuk mengetahui mengenai risiko, tanda bahaya dan apa yang perlu dilakukan untuk mencegah penyakit diabetes dan komplikasinya. Jangan teratuk baru tengadah. Justeru setiap ahli keluarga perlu hidup di dalam persekitaran yang menyokong gaya hidup yang sihat dan ini akan membantu mencegah dan mengawal penyakit diabetes type II. Sebagai contoh kawasan rumah diistiharkan bebas asap rokok, kemudahan infrastruktur untuk aktiviti fizikal berdekatan dengan kawasan tempat tinggal serta budaya pemakanan yang sihat.

4] Jika anda sudah menghidapi penyakit Diabetes, perkara-perkara berikut wajib menjadi zikir keutamaan setiap hari:
a) Menjaga pesakit diabetes memerlukan rawatan harian, pemantauan yang kerap, pengamalan gaya hidup yang sihat serta memberi pendidikan secara berterusan.
b) Berkawanlah dengan doktor atau mana-mana anggota kesihatan yang anda selesa dengannya. Menjadi kawan baik dan akrab ini penting bagi mendapatkan segala khidmat nasihat yang berguna dari mereka. Boleh dikatakan semua anggota kesihatan mempunyai ilmu serta kemahiran yang cukup untuk membantu individu serta keluarga untuk menjaga pesakit diabetes.
c) Mengikut data daripada International Diabetes Federation (IDF), kurang daripada 1 daripada 2 orang pesakit diabetes dan 1 daripada 4 orang ahli keluarga pesakit diabetes mempunyai akses kepada program pendidikan diabetes. Oleh itu, setiap individu dan ahli keluarga perlu mengetahui akses untuk mendapatkan pendidikan diabetes serta khidmat nasihat untuk membantu menjaga pesakit diabetes. Akses maklumat kesihatan ini perlu dari sumber yang sahih, bukannya dari media yang tidak diketahui kewibawaan dan keahlian dalam bidang itu.
d) Pesakit juga perlu diberikan motivasi oleh keluarga untuk terus mengambil ubat-ubatan seperti yang telah disarankan oleh pegawai perubatan.
e) Keluarga wajib mengetahui dan menggalakkan pesakit untuk melakukan saringan komplikasi di klinik kesihatan terdekat sekurang-kurangnya sekali setiap tahun.

Semoga dengan penerangan ini akan memberikan gambaran bahawa betapa pentingnya peranan setiap ahli keluarga dalam penjagaan kesihatan.

Sekian dari
Dr Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
suhazeli.com
fb.com/drsuhazeli
14.11.2018

Sumber: Diabetes Fact Sheet KKM, November 2018