Peranan Bantu Asnaf Dihargai

263

DUNGUN – Usaha Petronas melalui Yayasan Petronas menyantuni masyarakat kurang berkemampuan dapat meringankan beban dan kesulitan golongan tersebut dalam membuat persiapan Hari Raya sangatlah dihargai.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata demikian, ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadan Yayasan Petronas di Masjid Nurul Hidayah, Kampung Tebing Tembah, di sini, pada petang semalam. (Selasa, 28 Mei 2019)

“Program begini dapat mengeratkan lagi hubungan kakitangan Petronas dengan masyarakat setempat, khususnya yang tinggal berdekatan dengan kawasan industri petroleum seperti di Dun Paka dan Dun Kemasik.

“Kita juga berharap, semoga
usaha yang telah dijalankan oleh Petronas ini akan membuka jalan kepada lebih banyak badan korporat lain untuk turut tampil menjalankan Program Khidmat Sosial (CSR) mereka terutamanya untuk penduduk sekitar,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Dato’ Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata program ini juga bertujuan meringankan bebanan golongan kurang berkemampuan menyambut Ramadan disamping membantu membangkitkan keceriaan mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

“Pada hari ini juga, Petronas melalui anak syarikatnya Petronas Dagangan Berhad menyediakan juadah bubur lambuk untuk diagihkan kepada pelanggan stesen minyak Petronas terpilih di sekitar Paka dan Kertih.

“Program ini sebagai saluran bagi Yayasan Petronas bekerjasama dengan komuniti dalam menyediakan keperluan sara hidup dan membina keyakinan diri,” ujar beliau.

Seramai 200 orang asnaf termasuk pelajar kurang berkemampuan di sekitar Dun Paka dan Dun Kemasik mendapat bantuan untuk membeli kelengkapan hari raya serta sumbangan ‘duit raya’ dalam majlis berkenaan.