Penubuhan Cawangan Agenda Pengukuhan Parti

458
Dr Azman menerima 125 borang permohohan keahlian PAS baharu dari Cawangan Tasik Mengkuang

Oleh : Hidayah Azlin

SETIU – Penubuhan cawangan baharu merupakan agenda pengukuhan parti yang menunjukkan fokus pimpinan tidak hanya tertumpu kepada gerak kerja kerajaan semata-mata.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, sesi memantapkan gerak kerja parti perlu diperkukuhkan agar lebih bersedia mengadapi Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

“Alhamdulillah, malam ini, tanda sebagai peristiwa besar kerana berjayanya kita merasmikan penubuhan Jawatankuasa Penaja PAS Cawangan Tasik Mengkuang dan saya tidak pernah terfikir akan menerima borang keahlian baharu sebanyak 125 orang di sini.

“Dalam memacu era kemenangan ini memerlukan penjagaan dan pemerhatian rapi terhadap kedua-duanya.

”Kerajaan kita jaga, parti pun kita jaga agar ia bergerak seiring dan positif dan adanya kita di sini sebagai kerajaan kerana parti kita. Segala gerak kerja penyusunan yang kita hadapi ketika pilihan raya adalah dengan wadah parti kita,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat berkata demikian ketika merasmikan Penubuhan Jawatankuasa Penaja Pas Cawangan Tasik Mengkuang, Jabi yang menjadi cawangan ke-29 dalam DUN Jabi, semalam, 21 Februari.

Menurutnya, sebanyak lima cawangan PAS telah berjaya ditubuhkan di DUN Jabi selepas PRU-14 dan akan menyusul beberapa cawangan lagi dalam masa terdekat ini.

Namun, dalam usaha PAS DUN Jabi untuk mencapai sasaran menubuhkan cawangan di kesemua 37 MPKK sebelum berakhirnya tahun ini, tidaklah memberi penekanan kerana ia bergantung terhadap kesediaan kepimpinan setempat.

“Memang target kita mahu tubuhkan semua tetapi kita tidak terlalu menekan sebab kita mahu ia berlaku sepadan dengan keupayaan dan kemampuan dan kesediaan ahli kepimpinan cawangan untuk memimpin dan menggerakkan sebuah cawangan baharu,” ujarnya.