Penghinaan Terhadap Agama: Kerajaan Jangan Sambil Lewa

256

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Malaysia diharapkan  tidak terus bersikap sambil lewa di dalam menangani isu penghinaan terhadap agama Islam yang semakin menjadi-jadi pada era Malaysia Baharu.

Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu(BPNT), Ahmad Amzad Hashim berkata disebalik laungan kebebasan yang diperjuangkan, sekelompok masyarakat di negara ini menggunakan peluang tersebut menyentuh isu-isu sensitif umat Islam.

“Gambar yang dipaparkan di laman muka buku milik Wendy Loong secara jelas mempunyai niat menghina agama Islam serta sengaja mencetuskan provokasi terhadap umat Islam bukan sahaja di negara ini bahkan di seluruh dunia,” ujarnya.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dipetik berkata demikian di dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan di sini pada 30 Julai.

Malah, tambahnya lagi, tidak keterlaluan untuk mengatakan ia juga melibatkan penghinaan ke atas raja-raja selain permainan “racial card” sehingga mencetuskan keadaan tidak tenteram dalam negara.

“Saya berpandangan mekanisma undang-undang perlu diperhalusi dengan sedalamnya supaya nilai “retributive of justice” serta “deterrent” dapat diperteguhkan dengan baik dalam menangkis kes-kes penghinaan sebegini,” katanya.

Menurutnya, meskipun peruntukan penghinaan terhadap agama, baik raja-raja berkait dengan Kanun Keseksaan sendiri, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta termasuk kesalahan kecenderungan menghasut di bawah Akta Hasutan 1948.

” Namun ia masih gagal mengekang “jenayah siber” ini daripada terus berlaku, ” tulis beliau lagi.

Beliau seterusnya menyarankan selain memformulasi suatu dasar yang lebih tegas, aspek penguatkuasaan undang-undang perlu dilakukan dengan lebih sistematik.

” Khususnya melibatkan pengguna media sosial supaya kes-kes ini tidak terus berleluasa pada masa hadapan. Cegah sebelum parah!,” tegas beliau lagi.