Pengarah ARC Seorang Usahawan

985

Oleh : Aziz Hambali

“Perkara paling penting untuk (para) usahawan adalah ilmu, saya nasihatkan golongan muda supaya lengkapkan diri dengan ilmu pemasaran, jualan dan simpan kira serta jangan mudah terpedaya dengan pujian atau janji orang kepada kita,” kata seorang tokoh usahawan muda.

Mohd Rahim Rozali, 38 merupakan Pengarah Alternatif Riding Club (ARC) Negeri Terengganu berasal daripada Kampung Padang Tanjung, Bukit Payung, Marang telah bergiat dalam aktiviti keusahawanan sejak 17 tahun yang lalu.

Beliau juga telah diberi amanah memegang jawatan Ketua Kebajikan di peringkat Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) yang dikenali sebagai ‘Mr. Boor’ telah dinobatkan sebagai “Tokoh Usahawan Muda” sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu 2019 kali ke-50 (DPPNT) baru-baru ini.

Rahim menambah, dalam diri seorang usahawan perlulah ada sikap rajin berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah serta hendaklah bersungguh- sungguh melakukan sesuatu pekerjaan sehinggalah mencapai kejayaan.

Beliau bermula dari peringkat bawah dengan bermodalkan zero tanpa bantuan dan pinjaman daripada mana-mana pihak samamada daripada pihak kerajaan ataupun swasta.

“Saya bermula dengan modal ‘0’ dan tidak pernah mendapat pembiayaan atau pinjaman mana-mana pihak sehingga ke hari ini.

“Saya harap kepada anak-anak muda yang lain supaya muncul individu yang lain yang lebih berjaya lagi dalam segala bidang yang kita semua ceburi itu,” katanya.

Antara aktiviti keusahawanan yang beliau pernah ceburi adalah pembinaan am sekitar negeri Terengganu dan berniaga beberapa lot tanah di sekitar Marang.

“Saya berharap kepada mereka yang berkecimpung dalam mana-mana bidang keusahawanan ini supaya hasil yang kita perolehi itu kita sumbang kepada sayap-sayap parti dan jemaah kita.,” tambah beliau.