Pencemaran Selat Johor, Apa Tindakan Mitigasi Kerajaan?

185

Pencemaran di Pasir Gudang masih menjadi topik dalam liputan media dengan dua tragedi besar dalam tempoh tidak kurang empat bulan. Kini, amat dukacita apabila tinjauan BH baru-baru ini menunjukkan beberapa sungai termasuk Sungai Kim Kim begitu tercemar dengan sisa toksik termasuk di Selat Johor.

2. Isu ini memberi impak yang besar kerana menjejaskan pendapatan hampir 400 nelayan di pantai Pasir Gudang di samping implikasi terhadap kesihatan penduduk setempat yang bergantung kepada sumber sungai juga berisiko. Malahan, ekosistem hidupan laut dan alam sekitar juga turut terancam.

3. Tidak mustahil kawasan Selat Johor turut berhadapan ancaman kepupusan semua hidupan laut apabila tiada tindakan yang bersepadu dan proaktif diambil bagi menangani masalah pencemaran sungai yang setiap tahun berlaku di negara kita.

4. Fenomena ini dikatakan berpunca daripada sisa efluen loji kumbahan, sisa pembuangan industri kilang dan tapak pelupusan secara haram yang berleluasa.

5. Sejauh manakah keberkesanan undang-undang negara kita termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 serta penguatkuasaan yang berkaitan penyalahgunaan yang mengancam alam sekitar dapat membanteras isu ini?

6. Saya menggesa Kerajaan supaya mengambil tindakan segera dan memandang serius isu pencemaran sungai yang boleh mengancam hidupan laut di Selat Johor. Kita tidak mahu apabila isu ini dipandang ringan, akan mengakibatkan lebih ramai yang menjadi mangsa keadaan.

Islam Memimpin

TUAN CHE ALIAS BIN HAMID
Ahli Parlimen Kemaman