Penambahbaikan Bola sepak; AMK Selangor Sokong Pemuda PAS

474

Angkatan Muda Keadilan Selangor meyokong kenyataan yang diutarakan oleh Pemuda PAS Selangor tentang persoalan arah tuju pasukan bola sepak Negeri Selangor.

Naib Ketua AMK Malaysia yang juga Ketua AMK Selangor Azmizam Zaman Huri berkata Pemuda PAS Selangor melontarkan pandangan yang baik dan tidak ada elemen negatif.

Azmizam-Zaman-Huri“Sukan terutamanya bola sepak sebagai teras penyatuan rakyat adalah peluang baik untuk pentadbiran negeri ini melihat sesuatu melangkaui untung-rugi , dengan syarat tidak berkompromi dengan unsure-unsur pembaziran.

“AMK Selangor menyokong sebarang usaha berterusan untuk menaiktaraf dan mengembalikan pasukan bola sepak Selangor the Red Giants sebagai kuasa utama bola sepak di negara ini, dan apa juga pandangan atau kritikan kearah itu haruslah diterima dengan hati terbuka,”ujarnya.

Katanya AMK Selangor turut berasa terkilan dan kecewa dengan reaksi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim yang memperlekeh idea dan gesaan, sebaliknya memberi kata dua antara ‘masjid dan bola sepak’ kepada usaha tersebut.

Azmizam berkata, AMK Selangor bertegas, pembangunan menyeluruh negeri Selangor bukan sahaja tertumpu kepada soal pembahagian ekonomi yang adil semata-mata, tetapi juga mengharapkan kekayaan ekonomi Selangor diurustadbir bagi membangunkan kemudahan dan keupayaan sukan di negeri ini dengan baik.

Katanya, ia belum lagi menyentuh isu-isu lain seperti kebudayaan yang dilihat tidak mendapat tempat di Selangor, walhal negeri ini berupaya untuk melaksanakan program berkaitan dengannya.

Beliau juga menyokong saranan Pemuda PAS Selangor agar kerajaan negeri menyusun dan merombak stuktur Persatuan BolaSepak Selangor (FAS) yang dilihat gagal untuk menghasilkan sesuatu yang dinamik, dan tidak berterusan membiarkan pasukan bola sepak Selangor terus layu sebagai pencabar pertandingan Liga Super ataupun Piala Malaysia.

“AMK Selangor juga yakin , golongan belia begitu menantikan langkah-langkah proaktif kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bagi mengangkat kembali kegemilangan pasukan bola sepak negeri ini,”jelasnya

Justeru, AMK Selangor mengharapkan Dato’ Menteri Besar agar tidak terus melatah dalam perkara ini, dan yakin anak muda Selangor terutama dari Angkatan Muda dan Pemuda PAS Selangor sendiri dengan rela hati untuk duduk bersama bagi memberikan idea-idea bernas ke arah kemantapan urustadbir sukan bola sepak di negeri Selangor.