Pemuda Rai Anak Muda Dengan Aktiviti Lasak

228

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN- Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD) meraikan anak muda yang sukakan aktiviti lasak kerana ianya tidak bercanggah dengan agama bahkan didorong untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Ketuanya, Mohd Fadli Rahmi Zulkifli berkata, Rasulullah sendiri mengalakkan umat Islam agar mempunyai kemahiran seperti berkuda, memanah, berenang dan sebagainya.

“Berkait dengan Kejohanan ‘Monsoon Race’ iaitu kejohanan aktiviti lasak ‘motorcross’ yang diadakan di Jerangau Sungai kita (DPPKD) amat menyokong sukan seperti ini.

“Dengan tujuan kita memberi ruang kepada anak-anak muda terutama kepada yang meminati sukan berkenaan, bahkan kami melihat ianya suatu perkara yang positif dan mampu mengeratkan ukhwah sesama pemuda bahkan mengajak orang luar bersama dengan kita (PAS),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita pada semalam mengulas mengenai kejohanan berkenaan yang diadakan bermula Jumaat 15 November dan berakhir pada17 November yang diadakan di Litar Jerangau Sebelah Kilang Batu Bata, Jerangau.

Menurutnya, semua peserta menunjukkan daya juang dan semangat yang tinggi serta menunjukkan kemahiran tinggi didalam kejohanan berkenaan.

“Malah paling mengujakan ianya telah disertai oleh kalangan veteren yang berumur 50 sehingga 60 tahun tetapi masih bersemangat,” jelasnya.

Fadli menambah, kejohanan berkenaan telah disertai pelbagai lapisan usia, dari peringkat kanak-kanak, remaja dan dewasa dari pelbagai negeri bahkan turut menerima penyertaan dari Thailand.

“Semangat berkobar-kobar pada sukan ekstrim seperti ini perlu juga diterjemahkan kepada perjuangan menegakkan Islam.

“Dimana pemuda-pemuda seperti inilah yang diperlukan, dengan minat dan keberanian yang mereka ada itu jika ditarbiah dengan cara yang baik mampu melahirkan pemuda Islam hebat sebagaimana para sahabat Rasulullah sewaktu dahulu berjuang sehingga ke titisan terakhir, ” katanya.

Beliau merakamkan ucapan tahniah kepada pihak penganjur ‘Jerangau Motorcross Team’ (JMT) diatas kejohanan berkenaan.

“Secara tidak lansung kita telah menunjukkan kepada masyarakat bahawa PAS tidak menolak sukan ekstrim.

“Kerana paling penting setiap kejohanan apa jua jenis sukan mahupun sukan lasak perlu menepati syariah dan garis panduan yang digariskan oleh Kerajaan PAS Negeri Terengganu,” tambah beliau lagi.