Pemuda Perlu Jadi Benteng Umat Islam

306

Oleh: Aslam Wira

MARANG – Anak muda di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang perlu menjadi benteng umat Islam untuk mempertahankan agama daripada diperlekehkan oleh pihak tertentu.

Oleh itu Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu Mohd Nasir Abdul Razak berkata, golongan muda harus sentiasa bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan masa depan.

“Kita menilai jika mana ada tindakan atau arahan daripada pimpinan kita, maka anak muda harus siap siaga sebagai golongan atau benteng utama.

“Sebagai anak muda, niat yang paling utama adalah bersandarkan pada Allah, insya Allah pahala dapat, makan dapat, pakaian bundle dapat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ‘taujihad’ dalam usrah gabungan anak muda Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada hari Rabu, 21 Ogos.

Menurut Nasir, terdapat pelbagai isu sensitif yang perlu diambil perhatian antaranya isu berkait dengan Dr Zakir Naik.

Justeru itu, beliau menyeru para pemuda agar beristiqamah bersama kepimpinan ulama.

“Jangan malu atau segan jika kita tidak mampu, tidak pandai, tidak berjawatan, kerana jika bersama para ulama pewaris ambia, keberkatan akan turun bersama kita,” ujarnya.

Sehubungan itu, Ketua Penyelaras Pemuda PAS DUN Rhu Rendang, Ziyad Zakaria yang turut hadir dalam program tersebut mengucapkan terima kasih kepada sumbangan yang diberikan oleh syarikat Q- Bundle.

Seramai lebih 100 orang anak muda mula membanjiri perkarangan Taman Rekreasi Pulau Kekabu seawal jam 9.00 malam.

Turut hadir adalah Pegawai Khas Parlimen Marang, Harun Yusof, pemilik Q Bundle, Mohd Shahril Nizam Mohd Ghazali, dan Petugas Jabatan Amal DUN Rhu Rendang.