Pemuda PAS Ucap Tahiah Kepada Piya

736

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK), merakamkan ucapan tahniah atas penampilan terbaru Kapten Bola Sepak Kelantan (TRW) yang menutup aurat dan mengekalkan etika tersebut dalam perlawanan persahabatan semalam.

Menurut Pengerusi Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan DPPNK Ahmad Najib Deris, pemakaian ‘tight’ yang menutup kadar aurat lelaki adalah contoh yang perlu diikuti oleh seluruh rakan sukan yang lain.

“Saya berpandangan dalam kemeriahan dan kerancakan sukan bola sepak negara diikuti Bola Sepak Piala Dunia (World Cup) di Brazil yang bakal tiba, keputusan Piya yang mahu menutup aurat harus dihargai.

“Sudah tiba masanya atlet sukan negara meletakkan soal dosa pahala selain mengejar kejayaan dunia,”ujarnya

piyaPada 31 Disember lalu, Mohd Badhri Radzi berazam untuk tampil sebagai pemain bola sepak yang menutup aurat selepas pulang daripada mengerjakan umrah bulan lalu.

Beliau lebih dikenali sebagai Piya berkata, sebelum ini dia pernah beraksi tanpa mendedahkan aurat namun ia hanya seketika, tetapi selepas pulang daripada mengerjakan umrah November lalu, dia nekad untuk beraksi dengan memenuhi tuntutan agama.

Kata Piya, selain memenuhi tuntutan agama, pemain yang dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) tahun ini turut menyifatkan azamnya sesuai dengan kempen menutup aurat yang dilancarkan di Kelantan.

“Sebelum ini saya pernah mencuba untuk menutup aurat ketika bermain bola sepak, namun usaha itu tidak berterusan. Bagaimanapun selepas pulang daripada mengerjakan umrah, niat untuk menutup aurat ketika bermain bola semakin menebal dan saya nekad untuk meneruskannya.

“Saya akan menguatkan iman supaya bermain bola dalam keadaan menutup aurat sama ada ketika perlawanan di tempat sendiri atau di tempat lawan termasuk juga ketika sesi latihan,” katanya

Sehubungan itu, Ahmad Najib menyeru kerajaan mengambil pertimbangan untuk menyuntik elemen kerohanian dalam sukan negara.

“Penjagaan solat, menutup aurat, amanah dan akhlak bersukan bagi atlet muslim atau juga dipanggil pendekatan sivik dan moral seharusnya dijadikan asas kepada pelan tindak untuk mencapai impian tersebut.

“Sememangnya tidak mustahil idea Malaysia mampu menjulang Piala Dunia tetapi adalah diharapkan juga ia meletakkan ukuran yang lebih lunak dengan aturan agama,”jelas Ahmad Najib