Pemuda PAS Terengganu Dapat Ketua Baharu

961

Oleh : Aziz Hambali

KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memilih Nasir Abdul Razak dipilih sebagai Ketua Pemuda baharu, bagi sesi 2019/2021, dalam Muktamarnya Kali Ke-50.

Mantan Setiausaha Pemuda Terengganu itu dipilih menggantikan Kamaruzaman Abdullah yang terpaksa mengundur diri kerana melepasi had umur.

Jawatan Timbalan dan Naib Ketua Pemuda juga diisi oleh muka baharu apabila penyandang sebelumnya, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim (ADUN Tepoh) dan Hilmi Harun (ADUN Manir) turut mengundur diri atas faktor yang sama.

Timbalan Ketua Pemuda yang baharu adalah Ramlan Mahmood manakala Naib Ketua pula dimenangi oleh Hamdi Harun.

Sementara itu, Nasir menyifatkan jawatankuasa baharu yang dipilih sebagai generasi peralihan pemuda.

“Jawatankuasa sebelum ini telah memimpin dengan cukup cemerlang. Sebagai generasi peralihan ini, fokus kita adalah membantu parti dalam menggerakkan program tarbiyah ahli sehingga mencapai kemenangan.

“Sekarang ini, fokus kita adalah ke arah mempertahankan kemenangan dalam pilihan raya akan datang (PRU15). Buat masa ini, kita akan kemas kini saf kepimpinan peringkat pemuda, bermula daripada cawangan, DUN, Kawasan dan negeri,” katanya kepada wartawan Buletin Online.

Majlis perasmian muktamar itu telah disempurnakan gilang gemilang oleh Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Seramai 10 ahli jawatankuasa turut dipilih, iaitu Zulkarami Salleh, Mohd Irsyad Syafiq, Amaturahman Jaafar, Mohd Zaidan Abdullah, Mohd Alghazali Abu Bakar, Mohd Syamri Razak, Yusuf Abdul Hadi, Ayub Ngah, Ridhuan Karim dan Mohd Aswadi Mohamad.

Pengerusi Tetap dikekalkan iaitu Wan Faizul Wan Abas. Manakala timbalannya adalah Raja Arizal Raja Arif.