Pemuda PAS Kawasan Besut Bantu Mangsa Kebakaran

323

Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT – Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut telah membantu mangsa kebakaran di Kampung Amir, Besut dengan menyampaikan sumbangan duit.

Hal ini kerana Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut yang diketuai oleh Hakim Zulfikri telah menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada mangsa, Mohd Nor Mat Hasan dan keluarga pada 28 Jun 2019 di Kampung Amir, Besut.

Hakim Zulfikri melahirkan rasa simpati dengan apa yang menimpa keluarga Mohd Nor Mat Hasan dan berharap agar beliau dan keluarga tabah menghadapi ujian ini.

Kebakaran yang berlaku pada jam 2.30 petang 27 Jun 2019 telah mengakibatkan rumah tersebut hangus terbakar dan keluarga mangsa tinggal sehelai sepinggan tanpa dapat menyelamatkan apa-apa kecuali sebuah kereta.

Punca kebakaran rumah yang dihuni oleh sembilan orang itu belum dikenal pasti oleh pihak Bomba.

“Perkara sebegini kita tidak pernah minta, namun apa yang berlaku ini semua dengan kehendak Allah.

“Saya berharap masyarakat sekeliling dapat menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa dan keluarga agar mereka dapat meneruskan aktiviti seharian dengan lebih baik”, ujar Hakim Zulfikri.

Turut hadir dalam ziarah tersebut ialah Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Besut, Hafiz Yusof dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Kawasan Besut.