Pemuda PAS Batu Rakit Perkemas Jentera Hadapi PRU-15

171

Oleh : Izzat Izri

SETIU- Penyelaras Pemuda PAS DUN Batu Rakit (PPDBR) terus memperkemaskan jentera di setiap peringkat dengan agenda tarbiyah ahli, usrah sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Ketua Lajnah Tarbiah PPDBR, Ustaz Nasrullah Kamaruddin berkata, usrah merupakan tunjang kepada tarbiyah setiap ahli PAS sebab itu penting bagi pemuda mempunyai penyelarasan manhaj usrah yang terbaik.

“Oleh hal demikian, Pemuda Batu Rakit menyambut baik seruan PAS Pusat untuk menggunakan silibus manhaj usrah PAS yg telah ditetapkan oleh pihak PAS Pusat sendiri.

“Malahan, kami juga komited dalam menyebarluaskan lagi silibus ini sehingga ke akar umbi dan bukan sahaja berlegar di peringkat usrah pemuda DUN, tetapi juga peringkat pemuda dan cawangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam usrah, pada hari Khamis, 16 Januari.

Sementara itu, kata beliau, usrah diadakan secara berkala setiap sebulan diketuai PAS DUN Batu Rakit, Ustaz Mohd khairul Nizam Mohd Rozali sebagai naqib usrah.

Menurutnya, antara intipati buku tersebut adalah memberi kefahaman kepada ahli usrah agar mengaplikasikan pendekatan matang dan sejahtera, menuntut pendakwah menahan emosi dan kalis tekanan.

“Manhaj Usrah PAS yang merupakan terbitan Lajnah Tarbiyah dan Perkaderan PAS Pusat telah dilancarkan oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi bin Awang,” tambah beliau.