Pemuda PAS Batu Rakit Digesa Rancakkan Aktiviti Tarbiyah

292

Oleh : Izzat Al-Qushairi

SETIU – Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit digesa supaya merancakkan aktiviti tarbiyah bagi memantapkan lagi pengurusan organisasi parti tersebut.

Katanya, program tersebut seperti permukiman (retreat) , Ijtima’ Tarbawi, Liqa’ Fikri, tamrin, mukhayyam, usrah mingguan, seminar dan kursus kepimpinan.

Ketua Pemudanya, Mohd Khairul Nizam Mohd Rozali berkata, ia sangat penting kepada para pemuda agar mempersiapkan diri lebih awal untuk berjuang pada masa depan.

“Setiap pemimpin di cawangan seharusnya menawarkan skema pentarbiyahan anak muda yang benar-benar mampu meningkatkan potensi.

“Sudah sampai masanya skema pertarbiyahan pemuda diberikan nilai tambah kerana konteks dan tuntutan perjuangan dalam realiti dakwah dan politik begitu dinamik, sentiasa berubah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Ahad, 17 November diminta mengulas mengenai retreat yang diadakan pada 9 November yang lalu.

Oleh itu, katanya, pemerkasaan agenda tarbiyah ini mesti bermula dengan meningkatkan keupayaan para naqib sebagai enjin dalam keseluruhan perlaksanaan agenda tarbiyah.

Menurut Khairul, kesungguhan, pengorbanan dan fokus yang ditunjukkan oleh anggota parti tersebut seharusnya dimanfaatkan oleh pimpinan.

“Semangat ukhuwah yang tinggi dan sememangnya itulah yang mahu diterapkan di setiap peringkat pergerakan jemaah.

“Saya berharap momentum ini dapat dikekalkan dan ia mampu diterjemahkan dalam setiap aktiviti yang telah dirancang untuk tahun 2020,” ujarnya.

Kata beliau lagi, kesinambungan tarbiyah bagi pimpinan pemuda DUN dan cawangan mesti dipertegaskan supaya proses menghasilkan bakat dan potensi pemuda berlaku dengan sistematik.

“Kita tidak mahu lagi senario di mana bahan tarbiyah yang sama diulang berkali-kali tanpa banyak nilai tambah.

“Sedangkan tuntutan dakwah semasa menuntut para pemuda tarbawi menekuni pelbagai teks dan bahan tarbiyah untuk memimpin ummah dengan fikrah yang jernih dan mantap,” tambah beliau.