Pemuda PAS Batu Buruk Selar Kenyataan ‘Berbelit’ PAN Terengganu

749
Ahmad Firdaus Mohammad

Oleh : Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU – Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menyelar kenyataan PAN Terengganu yang mempertahankan keputusan kerajaan Persekutuan untuk mewujudkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPPKP) di Negeri Pembangkang.

Ketuanya, Ahmad Firdaus Mohammad berkata, kenyataan daripada Naib Pengerusi (1) PAN Terengganu,Hasbie Muda berkenaan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) menubuhkan MPKKP adalah berbelit-belit dan bertujuan untuk memenuhi nafsu politik mereka semata-mata.

Sebaliknya,Ahmad Firdaus berkata apabila entiti itu diwujudkan, sesebuah kampung akan menjadi tidak tenteram dan memberi banyak masalah kepada masyarakat untuk membuat tempat rujukan.

“Kami tegaskan kenyataan Hasbie Muda berkenaan MPKK Persekutuan adalah sangat dangkal dan meleburkan semangat Malaysia Baharu yang dilaung-laungkan.

“Kesungguhan beliau ini menunjukkan sistem pentadbiran yang lama kembali disucikan oleh Parti Amanah Negara (PAN) melalui pelbagai alasan dan nama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan profesional Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri yang mengeluarkan kenyataan pada 31 Oktober 2018 untuk menerima dan menambah lima lagi Ahli Jawatankuasa (AJK) MPKK daripada kerajaan Persekutuan telah dikhianati.

“Setelah setahun Kerajaan Negeri Terengganu membuka tangan secara profesional, kerajaan PH cuba menikam dari belakang dengan rakusnya.

“Bukankah masalah penyampaian dasar dan polisi kerajaan persekutuan boleh diselesaikan oleh lima MPKKP ini. Itupun kalau benar dakwaan bahawa MPKK yang sedia ada tidak menghayati dasar kerajaan persekutuan,” tegas beliau.