Pemuda PAS Bantu Golongan Tidak Mampu Sambut Aildilfitri

262

Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN – Pemuda PAS DUN Bukit Besi mengerakkan ‘Skuad Pemuda Bersamamu’ mengagihkan sumbangan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan untuk menyambut Aidilfitri.

Penyelarasnya, Mohd Ridhuan Yusoff berkata, barangan bantuan yang diagihkan itu merupakan sumbangan dari Parlimen Dungun, Pusat Khidmat Masyarakat dan juga dari orang ramai.

“Alhamdulillah, bantuan berupa barangan dan duit raya kepada anak-anak golongan yang difokuskan ini dapat dikumpulkan dengan mudah.

“Ia kerana ramai pihak yang berlumba-lumba ingin mengambil manfaat dari bulan Ramadan bagi melakukan kebajikan.

“Dengan bantuan ini diharapkan dapat menjadikan mereka tidak runsing pada persiapan sebaliknya dapat menumpukan kepada ibadat di bulan Ramadan yang kian berakhir,” jelasnya.

Beliau berkata demikian
dalam Program Pemuda PAS Bersamamu, di DUN Bukit Besi, pada Sabtu 25 Mei.

Menurutnya, program tersebut telah menarik minat orang ramai menyertai bagi menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Pemberian sumbangan tersebut bermula dari Kampung Bukit Besi, Dendang, Padang Ping, Kampung Jerangau Sungai, Kampung Lintang, Kampung Tepus, Minda, Talong, Rantau Panjang, Kuala Jengai, Jongok Batu, Kampung Shukor dan Pasir Raja.

“Selepas terawih ianya disambung semula dengan diagihkan pula sumbangan berkenaan ke Felda Jerangau dan juga Al-Muktafi Billah Shah (AMBS),” ujarnya.

Justeru itu, Ridhuan mengucapkan terima kasih kepada pihak penyumbang yang memberi sumbangan.

Turut hadir sama ialah, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.