Pemuda Marang Siap Siaga ‘Berperang’ PRU 15

181

MARANG, 27 Julai – Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut dalam masa terdekat.

Ketua Pemudanya, Ustaz Yusof Abdul Hadi berkata, pantauan dan arahan dari semasa ke semasa berkait perkara itu telah diberikan kepada semua jentera parti di peringkat bawahan.

“Kita juga yakin ahli kita bersedia, dalam program-program parti kita telah ingatkan mereka supaya memperkemaskan jentera di peringkat akar umbi.

“Jabatan pilihan raya (pemuda) di peringkat kawasan, DUN dan cawangan juga sedang persiapan yang sangat rapi bagi mendepani PRU-15,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan DPPKM Ke-36 di Dewan Sivik Bukit Payung di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah yang hadir merasmikan mesyuarat itu menegaskan, ledakan media yang berlaku hari ini menuntut supaya setiap pemuda meneroka strategi baharu dalam mendekati golongan belia.

“Anak muda ramai yang tak berparti, dalam era ledakan media dan digital ini cara fikir mereka juga berbeza, jadi ia menjadi cabaran kepada pemuda.

“Kita mesti ikat golongan ini, dekati mereka supaya mereka tertarik dengan apa yang kita bawa (perjuangan Islam), bukan hanya dengan aktiviti motor tetapi kita mesti tetapkan misi, tahun ini nak berapa orang satu cawangan, laksanakan dakwah fardhiyah.

“Jangan kita berlegar di kelompok kita sahaja, santuni anak muda di pelbagai peringkat, ini peluang kita,” tambah beliau.

Dalam mesyuarat itu juga DPPKM telah melancarkan jentera pilihan raya DUN di kawasan terbabit.

Untuk rekod, PAS memenangi kesemua DUN dalam parlimen Marang pada PRU lalu, DUN terbabit ialah Bukit Payung, Alur Limbat, Pengkalan Berangan dan Rhu Rendang.