Pemuda Garap Kekuatan Jentera

269

Oleh : Adli Mohamad

SETIU – Jentera Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) akan menggarapkan kekuatan dan melakukan persediaan yang terbaik dalam melakukan setiap gerak kerja dan program parti.

Ketuanya, Nasir Abdul Razak berkata, ianya dilakukan adalah kerana peranan dan tanggungjawab menjadi penyambung mata-mata pejuang agama Allah.

“Persediaan yang dilakukan menurutnya mencakupi dari segi keilmuan, kerohanian serta meletakkan kebergantungan yang tinggi kepada Allah SWT.

“Seterusnya komitmen kita didalam setiap apa yang kita hendak laksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Retreat DPPNT, di Pandan Laut Beach Resort, Setiu, pada Khamis, 11 Julai.

Menurutnya, diantara faktor kegagalan memastikan kemenangan PAS adalah berpunca daripada masalah komitmen walaupun telah dilakukan dengan sepenuh hati dan ikhlas.

“Mungkin (juga) ada masalah bertangguh, masa, dan cabaran dan apa jua (masalah) dari luar,” jelasnya.

Oleh kerana itu, beliau menggesa setiap Ahli Jawatankuasa (AJK) DPPNT yang telah dilantik mestilah memastikan adanya kekuatan untuk ‘istiqamah’ dari dalam diri.

Turut diperingatkan olehnya, walau dimana pun berada AJK DPPNT perlu menyedari bahawa mereka adalah tentera kepada parti dan kerajaan.

“Bertindaklah dengan sebaiknya demi Islam dan parti kita diperkasa dan Darul Iman serta mara kita pertahankan.

“Selepas ini bergeraklah kesemua medan samada yang berada di agensi kerajaan (samaada) jabatan kerajaan disetiap kawasan, DUN, ataupun di Pejabat Khidmat Masyarakat, mahupun Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), dan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI),” tegasnya.

Kata beliau lagi, inilah masanya DPPNT mengerakkan jenteranya yang bertemakan ‘Demi Islam’.

Sehubungan itu, Setiausahanya, Zaidan Abdullah berkata, jentera DPPNT ingin mengekalkan kemenangan Negeri Terengganu melalui pergerakan jentera mereka dan akan mensasarkan golongan undi anak muda.

“Disamping kita akan menjadi juru bicara dan menjuarai segala isu anak muda didalam segala perkara,” katanya.

Selain itu, DPPNT juga pada masa sekarang berusaha untuk turun ke seluruh kawasan dan juga DUN bagi memperkenalkan kepimpinan baharu yang terdiri daripada generasi baru.