Peminat Seni Perlu Hiburan Menurut Perspektif Islam

657

Oleh : Rusni Hassan

MARANG – Hiburan menurut perspektif Islam perlu diketengahkan dan diberi contoh yang baik kepada peminat seni.

Pengarah program Tautan Mahabah Kesenian, Puan Raihani Ibrahim berkata, tujuannya agar masyarakat tahu adanya alternatif hiburan yang tidak melampau dah dibenarkan oleh syara.

“Objektif utama program ini adalah untuk mendekati golongan penghibur, pemuzik dan pengiat seni.

“Agar faham bahawa Islam tidak melarang umatnya untuk bergiat dalam bidang seni, berkarya hatta mendengar muzik sekali pun asalkan tahu batas sempadan mengikut syariat islam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sejurus selesai program tersebut yang diadakan di Angulia Beach Resort, Marang, 18 November, disini.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Ngo We Care Marang berharap program seperti ini wajar diteruskan dengan diberi penjenamaan semula atas nama Ngo agar pendekatannya lebih meluas lagi sasarannya.

Apatah lagi katanya, PAS Pusat telah pun menubuhkan satu badan Ngo yang diberi nama LESTARI untuk melebarkan sayap dakwah dalam bentuk kesenian dan hiburan agar golongan ini tertarik dengan uslub dakwah yang PAS terapkan hari ini.

“Lajnah kesenian perlu memikul rasa tanggungjawab agar golongan yang meminati seni ini tidak rasa terpinggir.

“Dan ini dapat menyangkal tomahan dan persepsi golongan tertentu bahawa PAS satu parti yang kolot & ketinggalan zaman serta tidak menyediakan platform kepada golongan tersebut untuk berhibur,” jelas Raihani lagi.

Turut hadir pada program tersebut ialah wakil daripada Lajnah Dakwah Dan Kesenian Muslimat Malaysia Puan Zainab Bacok, Naib Ketua Muslimat PAS Negeri Terengganu, YM Tuan Roslina Tuan Sulaiman dan Ahli Jawatankuasanya To’ Puan Zaiton Salleh serta Pengerusi Lajnah Dakwah dan Kesenian Puan Khairiah Mokti.