Pemimpin Tegas Dalam Perkara Penting

503

KUALA TERENGGANU – Ketegasan kepimpinan terhadap perkara asas yang difardhukan (diwajibkan) ke atas semua manusia mukallaf (dipertanggungjawabkan) untuk mendirikan solat menunjukkan ia bukanlah sesuatu perkara yang enteng.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata ‘amar makruf nahi mungkar’ merupakan tanggungjawab semua orang terutama pemimpin.

“Kewajipan pemerintah untuk memastikan semua rakyatnya yang mukallaf mendirikan solat samada dengan nasihat, teguran, amaran atau penguatkuasaan undang-undang.” katanya dalam satu kenyataan di laman sosialnya.

Menurutnya, dikemukakan soalan kepada beliau tentang kewajaran mengenakan denda terhadap mereka yang tidak solat itu seolah-olah ‘usaha’ yang diambil oleh kerajaan suatu perkara pelik dan remeh.

“Wartawan tanya ambe (saya), kerana tak solat saja sampai kena denda?

“Ambe (saya) tanya balik, tak solat saja? bunyi solat macam kecil saja.

“Kita sokong bila orang tak puasa ditangkap? padahal solat rukun Islam kedua. Puasa rukun ketiga,” jelas beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu.

Beliau turut menempelak terhadap golongan yang menyatakan bahawa solat adalah urusan peribadi yang tidak perlu dicaknai pemerintah.

Walhal solat adalah perkara yang amat perlu dititikberatkan oleh setiap pemerintah.

“Dengan makna siapa yang tak nak solat itu urusan dia dengan tuhan,” sindirnya dengan tegas terhadap golongan yang masih mempertikaikan penguatkuasaan terhadap undang-undang yang menegaskan agar rakyat mendirikan solat.