Pemimpin Kontang Intergriti! Fahami Perihnya Untuk Kertas Harga Diri

562

Oleh : Dr Riduan Mohamad Nor

Seperti majal sial yang datang bertindan tindih menghempap bata gemala kepimpinan PH, sembilan bulan negara ini tak berhenti daripada rungutan serta bebelan rakyat pasca 9 Mei 2018. Kegagalan menunaikan manifesto PRU 14 , malah rakyat disergah dengan angkuh apabila meminta kerajaan melaksanakan janji-janji yang terkandung dalam,manifesto.

Diikuti dengan polisi ‘flip flop’ kerajaan PH serta teknik ‘pusingan U’ yang kerap sehingga memualkan rakyat.

Semenjak awal rakyat memerhatikan tingkah laku anggota legislatif daripada pihak kerajaan, keobsesan mereka terhadap pangkat darjat sehingga dengan pantas dianugerahkan gelaran feudal seperti dato seri, datuk, dan lain-lain gelaran menjunjung harkat sosial.

Politikus asal jalanan ini membusung dada dengan pangkat serta gelaran feudal walaupun tak terbukti apa jasa bakti mereka pada tanah watan, bahkan peradaban manusia. Tanpa sedar rakyat memerhatikan mereka , dengan pantas cuba menukar cara hidup sekelip mata sehingga mencuat rasa menyampah rakyat.

Kenyataan media yang sering bercanggah diantara satu sama lain, bahkan persaingan dalaman , intriq serta polemik berpanjangan, kecuaian intergriti bahkan ada yang masih tak menguasai potfolio masing-masing.

Menjelang PRK Semenyih ini isu kredibiliti akademik ini dihangatkan kembali apabila calon PH melakukan kesilapan awal apabila meletakkan dirinya berdoktorat daripada UITM. Masyarakat siber dengan pantas membuli calon anak muda itu apatah lagi semenjak dua minggu lepas negara kita digegerkan dengan Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar yang menipu kelayakan akademik.

Tanpa menafikan ijazah berjela bukanlah satu prasyarat untuk menjadi pemimpin yang hebat dan itulah yang dirakam dalam denai sejarah dunia. Namun isu besarnya ialah pemimpin-pemimpin muka tebal ini sanggup menipu untuk dilihat hebat oleh masyarakat awam.

Persoalannya mengapa kelompok kelas menengah begitu marah dengan isu penipuan akademik yang melanda pimpinan PH? Menggalang kecermerlangan akademik bermakna dibelakangnya adalah usaha dan dedikasi yang serius untuk berjaya, mengerah segenap kudrat dan akal untuk sebuah penghargaan akademik.

Jika dibangku sekolah rendah, rotan akan hinggap atas belakang, menghadiri kelas ratusan kelas bimbingan akademik ,bersengkang mata mengulangkaji pelajaran untuk mendapatkan keputusan 5A. Begitu juga proses menggalang kecemerlangan diperingkat sekolah menengah samada SPM dan STPM, tiada yang mudah melainkan keringat dan airmata yang mengucur.

Dikampus pula , tak sedikit anak-anak mahasiswa melahap mee segera dan minum air kosong, mengikat perut, tertunggak bayaran pengajian demi untuk berjaya menggenggam sekeping kertas maruah diri.

Tiba-tiba politikus yang hidup bermodalkan air liur tertera pada profil calon PRU 14 dan direktori Parlimen belajar di luar negara , bermukim ilmu di kampus berprestij kononnya dan entah apa-apa lagi kualifikasi kertas yang palsu. Dengan tahap pendidikan rendah itu, maka tidak pelik ramai pemimpin kerajaan hari ini tidak mampu untuk fokus dengan skop kerja mereka bahkan masih bermentaliti pembangkang.

Jika dibangku sekolah mereka tergolong dalam kelompok sederhana dan malas membaca maka jangan harap pimpinan spesies ini akan mempunyai budaya membaca diluar pagar sekolah.

Teringat aku sekitar 2015 hingga 2017 ,ratib menggema dimana-mana bahawa yang keluar daripada PAS adalah profesional manakala hanya lebai-lebai kampong yang konservatif masih kekal dalam parti Islam tertua itu . PAS membalas serangan persepsi itu dengan mencetak dan mengeluarkan biografi calon-calon mereka yang kredibel dan jauh mengatasi calon semua parti di negara ini. Bukan sekadar lulusan pengajian Islam daripada dalam dan luar negara namun dengan pelbagai disiplin ilmu moden .

Ironisnya, dalam PRU 14 yang lalu menunjukkan Parti Islam mengemukakan paling ramai calon-calon berpendidikan dan daripada jalur profesional. Doktor perubatan, jurutera, perancang kewangan, arkitek, ahli akademik, usahawan berprofil tinggi malah paling ramai calon-calon doktorat daripada dalam dan luar negara.

PAS serius menampilkan calon yang berwibawa , yang mampu mengurustadbir dalam kerencaman dunia kontemporari. Cukup kontradik dengan fitnah dan tohmahan seteru dan pembenci -pembenci PAS. Wahai rakyat Malaysia yang pernah membuat kesilapan dalam memilih pemimpin, kalian masih ada peluang untuk membaiki tanahair ini.

Pilihanraya akan datang PAS akan terus tampil dengan calon-calon terbaik, manifesto yang membumi serta terus berusaha menjaga tanahair ini dengan Syariah. Pilihan ditangan anda, silap memangkah maka implikasinya bukan sekadar lima tahun tetapi terheret kesannya sehingga akhirat.