Pemimpin Bawahan Perlu Peka

515

Oleh : Nooreni Abu Bakar

DUNGUN – Pemimpin PAS di peringkat bawahan diingatkan supaya peka dengan isu-isu semasa untuk berhadapan dengan masyarakat setempat.

Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Kepimpinan PAS Kawasan Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh Al-Hafiz berkata mereka mestilah mendapat maklumat yang betul tentang isu-isu tersebut.

“Lebih-lebih lagi bila berhadapan dengan orang-orang yang sentiasa mencari salah dan silap pemimpin-pemimpin dalam PAS,” ujarnya.

 

Ustaz Jamaluddin berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Cawangan Pulau Serai kali ke-59 di sini pada 8 Februari.

Beliau yang biasa disapa dengan panggilan Ustaz Ja itu, seterusnya menegaskan bahawa ahli – ahli parti di peringkat akar umbi mesti akur arahan parti.

“Kerja-kerja parti mesti dilaksanakan dengan mengikut arahan daripada pihak pimpinan atasan,” tegasnya.

Ustaz Ja yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Terengganu itu juga berharap
program-program ilmu diperkasakan untuk memberi kekuatan dalam perjuangan parti.

“Dalam era kemenangan PAS, fokus kepada program-program yang berbentuk kerohanian seperti tarbiyah, tamrin, iftor(puasa isnin khamis) dan qiamullail, inilah program yang dapat memberi kekuatan kepada kita,” katanya.