Pembinaan SRIDAR Kertih Masuki Fasa Akhir

1520

Oleh : Khalid Abdullah

KEMAMAN – Pembinaan Sekolah Rendah Islam Darul Rahman (SRIDAR) Kertih, kini memasuki fasa akhir pembinaan apabila 95 peratus, bangunan satu blok, tiga tingkat hampir siap.

Pengerusi SRIDAR Kertih, Ustaz Mohamad Mahadi Nawi juga berkata, pembinaan tersebut kini hanya tinggal lima peratus untuk disiapkan dan sebanyak RM1.3 juta telah dibelanjakan setakat ini.

“Tidak ada apa yang lebih menggembirakan selain melihat perkembangan pembinaan sekolah yang kini memasuki fasa akhir untuk disiapkan.

“Ia mendapat respons positif daripada ibu bapa dan murid yang telah memulakan sesi persekolahan di sekolah baharu sejak 2 Januari lepas,” kata beliau.

Menurut Ustaz Mohamad Mahadi lagi, SRIDAR telah mula beroperasi dengan 45 orang pelajar, dari murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga dengan enam orang tenaga pengajar dan seorang kerani.

“Justeru, saya berharap dengan siapnya pembinaan bangunan sekolah ini dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya dan membolehkan pelajar dan guru berasa selesa menjalani aktiviti harian di sekolah,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini, petang tadi.

Ustaz Mohamad Mahadi

Ustaz Mohamad Mahadi juga memberitahu, kerja-kerja fasa akhir lebih bertumpu kepada menyiapkan sebuah kantin sekolah.

“Sebuah kantin berukuran 15.240 meter (m) x 10.973 m dengan anggaran perbelanjaan RM80,000 sedang dilakukan kerja-kerja tapak.

“Jangkaan dapat disiapkan menjelang Hari Raya Puasa nanti, dan kami sangat mengharapkan para dermawan budiman menyumbang untuk pembinaan kantin ini,” kata beliau lagi.

Sumbangan boleh dihulurkan ke akaun Maybank bernombor 5630 5523 1428 atas nama SRI Darul Rahman Kertih atau CIMB Islamic bernombor 7610 9385 11 atas nama Mohamad Mahadi Nawi.