Pelantikan Kabinet; Perbetulkan Kekeliruan

921

Oleh : KAM

MARANG – Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegur pihak yang keliru dengan ucapannya bahawa ‘Islam meletakkan mestilah ketua negara dan anggota kabinetnya yang beraqidah Islam daripada bangsa yang paling berpengaruh’ agar merujuk kepada mukadimah tulisan tersebut.

Beliau memberi contoh bagaimana politik barat termasuk politik komunis dan sekular yang juga akan melantik pemimpin di kalangan mereka sendiri.

“Merujuk kepada mukadimah ucapan saya sebut dalam politik barat termasuk politik komunis, sekular pun dia mesti lantik orang parti dia jadi Perdana Menteri. Bahkan, Menteri Kabinet pun orang parti dia semua.

“Jika Republikan menang semua (lantik) Republikan, itu di Amerika. Kita di Malaysia ikut sistem British. Kita kabinet sahaja (bertukar) pegawai tinggi kerajaan tidak campur. Di negara komunis, dia akan lantik semua orang parti komunis dalam kabinet dia (kerajaan),” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil media selepas menyampaikan Kuliah Mingguan Pagi Jumaatnya di Masjid Rusila, Marang, pada Jumaat 29 Disember.

Namun, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, Islam juga merupakan agama yang fleksibel serta boleh menerima pemimpin bukan Islam dalam pemerintahan negara mengikut syariat Islam.

“Ada pun kita Islam ini, kita kena bincang Islam sebagai negara (memerintah). Bukan soal sembahyang Jemaah di masjid saja. Dalam pemerintahan negara, pemerintahan Islam ini ulamak-ulamak kita telah tulis dalam kitab ratusan tahun lalu.

“Islam pernah menakluk (perintah) Parsi dan Rom hingga ke sempadan China. Semasa Islam memerintah dahulu, dalam soal kabinetnya, ketua negara mesti orang Islam. Dalam lantikan kabinet itu ada kabinat pembuat dasar.

“Cuma ‘fleksibel’ kita (Islam) boleh melantik orang bukan Islam menjadi menteri dalam tugasnya eksekutif dan bukannya legislatif. Eksekutif ini kepakaran dia, kemahiran dia tetapi tunduk dibawah dasar dan polisi Islam.

“Ini boleh pilih di kalangan orang bukan Islam. Jika peringkat negeri Excolah. Namun, Menteri Besarnya mesti orang Islam. Ini yang fleksibel yang ada pada kita dan tidak ada pada orang lain,” jelasnya.

Apa yang penting, kata Dato’ Seri Abdul Hadi bahawa mewujudkan keharmonian kaum di antara orang Islam dengan bukan Islam yang telah terbina lama.

Menurutnya, Islam sangat terbuka dalam menerima pelantikan bukan Islam sebagai menteri Kabinet berbanding sistem parti politik moden yang hanya menerima mereka yang sealiran idelogi sahaja.

“PAS sangat memahami realiti masyarakat majmuk di negara ini. Kita ini telah berjaya mewujudkan keharmonian antara orang Islam dan harmoni dengan orang bukan Islam.

“Para ulama’ Fiqh Politik Islam seperti Al-Mawardi mengharuskan perlantikan bukan Islam dalam jawatan Wazir Al-Tanfiz (menteri atau ahli kabinet yang melaksanakan pengurusan), bukan Wazir Al-Tafwid (membuat polisi dan dasar negara).

“Di sini adanya keanjalan dalam Sistem Politik Islam yang tidak fanatik kepartian seperti pendukung ideologi sekular,” ujarnya.