Pelajaran Berharga Dari Samoa

387

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa 140,000 kanak-kanak mati akibat penyakit Campak pada tahun 2018. Majoriti mereka adalah anak-anak yang di bawah umur 5 tahun. Laporan ini amat menyedihkan dan menzahirkan satu kebimbangan oleh para pakar seluruh dunia. Kenapa ianya boleh berlaku sedangkan pemberian vaksin seluruh dunia telah pun diseratakan.

Dengan kata lain, sejak sekian lama arahan Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) di bawah WHO mewajibkan pemberian vaksinasi kepada semua negara di dunia. Namun kita lihat terdapat trend yang merisaukan dikalangan rakyat negara-negara seluruh dunia. Penolakan vaksin semakin meningkat dan ianya selari dengan kenaikan penyakit Campak ini.
.
Wabak penyakit Campak ini bukan untuk gurauan. Ianya bukan semudah naik ruam merah terus diberi nama wabak, tetapi ia lebih serius dari itu. Penyakit Campak boleh membawa kematian akibat dari komplikasi jangkitan kuman ke paru-paru (pneumonia) dan Enkefalitis (kerosakan otak akibat radang). Jika tidak mati, kebanyakan dari penghidap penyakit Campak akan berkesudahan dengan buta dan pekak dek kerana serangan virus terhadap saraf deria penglihatan dan pendengaran. Ianya bukan suatu penyakit yang dipandang enteng. Bahaya!
.
Penemuan terbaharu mendapati penyakit Campak ini akan mengakibatkan gangguan kepada sistem pertahanan badan secara keseluruhan. Kehadiran virus Campak dalam tubuh anak-anak yang dijangkiti itu boleh menyebabkan mereka lebih mudah dijangkiti oleh virus lain pula seperti influenza dan cirit-birit. Penurunan sistem imun (Immune Amnesia) badan akibat jangkitan virus Campak ini mengambil masa berbulan dan malah bertahun untuk pulih.
.
Semua orang sudah maklum bahawa vaksin adalah pencegahan paling berkesan. Penemuan dan pemberian vaksin Campak bermula sejak 1960 lagi adalah selamat, berkesan dan murah. Negara kita mengikuti saranan pemberian vaksin Campak agak lewat, tahun 1982, namun kita dapati impak yang menakjubkan dengan penurunan kes penyakit Campak dalam masyarakat negara kita dan seluruh dunia.
.
Namun, sejak sedekat lalu pakar-pakar kesihatan awam mendapati bahawa pengambilan vaksin campak (gabungan MMR; Campak, Beguk dan Rubela) adalah statik. Tiada pergerakan aktiviti aktif untuk meningkatkan liputan pengambilan vaksin terhadap anak-anak seluruh dunia. WHO membuat laporan bahawa hanya 86% vaksin Campak dos pertama diambil seluruh dunia. Manakala vaksin dos kedua semakin susut ke 70%. Keadaan ini akan menyukarkan proses pencegahan dan penghapusan penyakit Campak di seluruh dunia.
.
Bagi menjadikan perlindungan maksima dari dijangkiti virus Campak itu, liputan pemberian vaksin mestilah melebihi 95% dalam kedua-dua dos yang diberikan. Dos pertama adalah semasa anak berusia 9 bulan dan dos kedua semasa 12 bulan. Perlindungan yang maksima ini boleh menyekat rantaian kemasukan virus di dalam sesebuah lokaliti. Akhirnya wabak jangkitan dapat dikekang sebaik mungkin.
.
Penyakit Campak amat cepat merebak dan bahaya. Jika seorang dijangkiti, potensi untuk menyerang orang lain yang berada di sekeliling sebanyak 19 individu lain. Walaupun orang lain itu sudah diberi suntikan vaksin tetapi keberangkalian untuk turut juga dijangkiti tetap wujud. Ini kerana vaksin bukannya perlindungan 100%, tetapi keterukan tanda jangkitan bagi mereka yang sudah divaksinkan kurang serius berbanding kanak-kanak yang tidak divaksinkan. Kita perlu faham bahawa rantaian jangkitan perlu diputuskan dahulu dengan pemberian vaksin. Oleh itu, liputan mestilah melepasi 95% setiap ketika di semua lokasi dunia.
.
Malang, apa yang berlaku di Samoa, liputan vaksinasi turun secara mendadak bermula tahun 2018. Ianya berpunca dari jururawat tersalah suntik vaksin yang dicampur dengan ubat pelali otot, sepatutnya vaksin dicairkan dengan air suling khas. Kes tersebut telah pun di bawa perbicaraan dan anggota kesihatan terbabit telah pun dihukum. Bermula dari isu tersebut terdapat golongan antivaksin yang memainkan sentimen bahawa vaksin adalah bahaya dan memberi maklumat tidak benar dalam dunia maya. Justeru liputan vaksin MMR terutamanya turun secara mendadak sehingga kurang dari 40%.
.
Hasil dari gerakan jahat para antivaksin, penyakit Campak yang sebelum ini dapat dikekang mula menyerang Samoa. Tohmahan buruk yang diceduk dari pelbagai sumber yang tidak berwibawa disua kepada rakyat Samoa sehingga menjadi ketakutan untuk mevaksin anak-anak mereka.
.
Saat paling sedih apabila berlaku wabak, adalah kematian demi kematian. Sehingga kini sudah 63 kes mati dan beratus-ratus kes positif jangkitan virus. Samoa adalah negara miskin. Pilu apabila terdapat sesetengah ibu bapa yang terpaksa mengemis untuk beli keranda bagi menyempurnakan jenazah anak mereka yang mati akibat penyakit Campak.
.
Tindakan drastik kerajaan Samoa patut dipuji. Walaupun mungkin agak lewat bertindak, namun kini liputan vaksin sudah mencecah 90% dalam tempoh 3 minggu berlalu. Antara tindakan yang dijalankan oleh Samoa adalah:
1. Meningkatkan kempen imunisa
si kepada seluruh rakyatnya.
2. Memberikan suntikan vaksin secara tambahan (Supplementary Immunization Activity) dengan menjejaki semula anak-anak yang belum diberi suntikan, terlepas suntikan atau kanak-kanak yang termasuk kategori yang wajib disuntik.
3. Mewujudkan undang-undang untuk menangkap dan mendakwa golongan antivaksin yang menyebarkan dakyah palsu berkaitan vaksin. Paling tidak masuk akal adalah antivaksin menggesa orang ramai memakan buah betik dan vitamin C bagi merawat penyakit Campak.
.
Dengan ketegasan tindakan ini boleh membuka mata semua pihak bahawa bahayanya penyakit Campak. Sejarah tidak dapat menafikan bahawa dengan Program Imunisasi Kebangsaan seluruh negara-negara di dunia berjaya menyelamatkan lebih 23 juta nyawa. Kuasa kematian itu ditentukan Tuhan tetapi inilah ikhtiar manusia bagi mencegah penyakit di atas muka bumi. Bukankah kita ini satu kaum yang diberikan akal untuk berfikir?
.
Sekian coretan dari suhazeli.com
fb.com/Suhazeli.abdullah
7.12.2019
Jalan Raja Laut
.
Pautan berguna
[1] Krisis Penyakit Campak di Samoa. https://www.theguardian.com/world/2019/dec/07/samoa-measles-crisis-100-new-cases-as-anti-vaccination-activist-charged
[2] Tersalah Cucuk Vaksin. https://www.immune.org.nz/hot-topic/infant-deaths-samoa-tragic-outcome-error-preparing-mmr-vaccine
[3] Antivaksin ditangkap ketika wabak. https://www.bbc.com/news/world-asia-50682881